MBPP laksana pembayaran tanpa tunai sepenuhnya melalui perkhidmatan kiosk pintar

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjadi antara pihak berkuasa tempatan terawal dalam negara yang melaksanakan perkhidmatan kiosk bayaran tanpa tunai sepenuhnya dengan mengintegrasikan perkhidmatan perbandaran dan teknologi.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, perkhidmatan kiosk pintar yang dikenali sebagai MBPP Smart Kiosk ini disediakan di Tingkat 3 Komtar (Kaunter Majlis) di sini.

 

“MBPP Smart Kiosk ini membolehkan orang ramai membuat pembayaran sama ada menggunakan kad bank (kad kredit / debit) ataupun e-dompet mengikut kesesuaian masing-masing.

 

“Perkhidmatan kiosk pintar tanpa tunai sepenuhnya ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pintar MBPP dalam mendokong Visi Penang2030 ke arah negeri pintar.

 

“Malah, melalui pelaksanaan inisiatif pintar seperti ini sama ada di MBPP mahupun MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai), membantu dalam usaha pematuhan prosedur operasi standard (SOP) banteras COVID-19 di Pulau Pinang.

 

“Saya berharap agar penduduk di negeri ini mengambil maklum mengenai pelaksanaan inisiatif-inisiatif pintar ini apabila menggunakan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya pada sidang media di sini pagi ini.

 

Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Norodin serta wakil ketua-ketua jabatan berkaitan.

 

Selain kiosk pintar, MBPP turut memperkenalkan inisiatif baharu, MBPP Smart Pay yang menyediakan fasiliti bayaran tanpa tunai melalui pelbagai platform.

 

Difahamkan, melalui inisiatif ini, orang ramai boleh membuat bayaran bil-bil majlis termasuk bayaran cukai pintu dan bayaran kompaun pada bila-bila masa dengan selamat.

 

AR. Yew Tung Seang (kiri) menunjukkan inisiatif-inisiatif pintar yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dalam usaha menuju transaksi tanpa tunai sepenuhnya di negeri ini.

Sementara itu, Tung Seang ketika diminta mengulas mengenai inisiatif pintar baharu ini memaklumkan bahawa pihaknya telah memulakan pelbagai inisiatif pintar sejak 2017 lagi demi mempermudahkan urusan pembayar cukai dan penduduk di bawah pentadbiran MBPP.

 

“Sebelum ini perkhidmatan pembayaran diadakan secara hibrid yang mana orang ramai boleh memilih sama ada menggunakan pembayaran secara dalam talian tanpa tunai (cashless transaction) atau di kaunter-kaunter majlis.

 

“(Dan) sehingga 30 Oktober tahun lalu, sebanyak 60.37 peratus transaksi tanpa tunai berjaya dicapai.

 

“Saya percaya rakyat di negeri ini akan menyokong segala usaha ke arah menjadi masyarakat tanpa tunai (cashless society).

 

“(Dan), pihak MBPP sedang berusaha untuk mencapai sasaran 100 peratus transaksi tanpa tunai (zero cash transaction) menjelang tahun 2023,” jelasnya.

 

Menurut Tung Seang, buat masa ini, MBPP Smart Kiosk juga boleh didapati di Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama dan Pusat Konvensyen SPICE.

 

“MBPP sedang dalam usaha untuk meletakkan kiosk pintar ini di beberapa pusat membeli-belah tumpuan ramai di bahagian Pulau demi kemudahan rakyat,” jelasnya lagi.

 

Dalam perkembangan berasingan, Tung Seang memberitahu bahawa terdapat 26 tapak pembinaan serta premis perkhidmatan makanan dan minuman di bahagian Pulau diarahkan tutup selepas didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

 

“Terbaru adalah di daerah Barat Daya membabitkan tapak pembinaan selepas didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR