MBPP lanjutkan pengecualian bayaran lesen penganjuran pasar malam sehingga Disember 2020

GEORGE TOWN – Seramai 42 penganjur pasar malam di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini terus menerima manfaat pengecualian bayaran lesen apabila cadangan pelanjutan pengecualian bayaran tersebut diluluskan.

 

WONG Yuee Harng.

Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng berkata, cadangan pelanjutan pengecualian bayaran lesen penganjuran pasar malam telah dikemukakan dan diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan  yang diadakan pada 16 November 2020.

 

“Pengecualian bayaran Lesen Penganjur Pasar Malam di bawah pentadbiran MBPP dilanjutkan untuk bulan Ogos, September, Oktober, November dan Disember tahun 2020.

 

“Pengecualian ini adalah sebanyak RM41,600 (bagi tempoh lima bulan tersebut, RM8,320 / bulan),” ujarnya pada Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 13/2020 yang disiarkan secara maya pagi ini.

 

Mesyuarat dipengerusikan oleh Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan dihadiri oleh Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Ahli-Ahli Majlis serta ketua-ketua jabatan MBPP yang berkaitan.

 

Difahamkan sebelum ini, MBPP turut memberi pengecualian serupa sejak April 2020 susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Dalam mesyuarat sama, Yuee Harng juga memaklumkan bahawa cadangan supaya MBPP tidak lagi menanggung caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Pos Malaysia bagi pembayaran bil-bil pihak berkuasa tempatan terbabit turut diluluskan.

 

“Caj perkhidmatan oleh Pos Malaysia ini akan dikenakan ke atas pembayar bil,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MBPP