MBPP lulus garis panduan kawalan bunyi pusat hiburan

5de1a268 3ee8 40a4 94e5 22a9e96154ee

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam sebulat suara meluluskan Garis Panduan Kawalan Bunyi Premis Hiburan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, garis panduan tersebut bertujuan mewujudkan suasana yang lebih selesa, terutamanya di sekitar George Town yang menempatkan pelbagai premis lain seperti hotel dan kawasan kediaman.

“Masalah yang dihadapi ketika ini adalah walaupun bunyi berada pada tahap rendah mengikut piawaian, namun bunyi bass atau aras bunyi latar belakang terlalu kuat sehingga menghasilkan gegaran sekali gus mengganggu tidur orang lain. 

“Walaupun lesen hiburan dibenarkan sehingga pukul 3 pagi, kebanyakan orang awam, khususnya tetamu hotel, biasanya tidur lebih awal,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini masih tiada garis panduan khusus berkaitan isu tersebut dan MBPP akan mengambil inisiatif untuk menyediakannya.

“Apabila berdepan dengan masalah, kita akan mengkaji dan mengeluarkan garis panduan berdasarkan kajian yang dijalankan,” ujarnya pada sidang media sejurus Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11 Tahun 2025 di Padang Kota, di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPP merangkap Pengerusi Gantian Kesihatan Awam MBPP, Tan Soo Siang berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pakar kejuruteraan bunyi bagi menangani masalah berkenaan.

“MBPP akan memasang alat pemantauan bunyi khas di lokasi yang ditentukan oleh MBPP.

“Data yang dikumpul akan disalurkan secara dalam talian ke pusat kawalan untuk tujuan penyusunan dan penyediaan laporan.

“Ia juga merangkumi penetapan piawaian bagi waktu pagi, petang dan malam serta mengikut kawasan persekitaran.

“Setelah semua kajian selesai, kami akan menentukan penyelesaian termasuk penetapan frekuensi yang sesuai supaya gangguan bunyi bising dapat dikurangkan,” jelasnya kepada pemberita.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN