MBPP, MBSP capai kadar pematuhan PKP tertinggi – Exco

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mencatatkan kadar pematuhan tertinggi apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini memasuki Fasa Ketiga.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Fasa Pertama PKP (PKP 1) kadar pematuhan di premis-premis seliaan kedua-dua Majlis Bandaraya itu hanya mencatatkan kadar sekitar 80 peratus.

 

“Apabila selesai minggu keempat iaitu Fasa Kedua PKP (PKP 2), kadar pematuhan yang dicatatkan bertambah baik.

 

Bagi MBPP kadar pematuhan PKP yang dicatatkan adalah 99.35 peratus manakala bagi MBSP pula 99.25 peratus.

 

“Kadar pematuhan ini melibatkan 183,140 pemeriksaan yang dilakukan setakat semalam (19 April 2020) di premis-premis milik pihak berkuasa tempatan terbabit seperti di pasar awam dan kompleks makanan,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook milik MBPP (@majlisbandaraya.pulaupinang) dan MBSP (@mbsp.pg).

 

SALAH seorang petugas mengemas kini papan semak pemeriksaan dan kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dekat sini, pagi ini.

Turut sama dalam sidang media tersebut, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd Razali serta Ketua-ketua Jabatan berkaitan.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat tegas dalam memastikan kadar pematuhan PKP yang baik.

 

“Pelbagai langkah-langkah keselamatan diambil seperti memastikan jarak sosial selamat, membenarkan satu pintu masuk dan keluar di pasar-pasar awam serta mengehadkan jumlah pengunjung di premis-premis milik pihak berkuasa (tempatan) berkaitan.

 

Selain itu, saya juga telah mengarahkan kedua-dua Majlis Bandaraya supaya sentiasa memastikan tahap kebersihan di premis-premis seliaan masing-masing.

 

“Langkah-langkah ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terjamin dan terpelihara.

 

“MBPP dan MBSP perlu meneruskan momentum dan tidak boleh selesa ataupun leka (dengan pencapaian kadar pematuhan yang tinggi) bagi memastikan kita membanteras wabak COVID-19,” katanya.

 

Dalam pada itu, Jagdeep turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dalam memastikan tahap kebersihan yang tinggi di premis-premis milik kedua-dua Majlis Bandaraya berkaitan.

 

“Terima kasih kepada agensi berkaitan seperti polis dan RELA termasuk petugas dari pejabat KADUN dan Ahli Parlimen serta ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang bertungkus-lumus membantu menjayakan perang membanteras pandemik ini.

 

“Terima kasih juga kepada semua orang awam yang memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan daripada petugas yang terlibat,” zahirnya.

 

Dalam perkembangan lain, Tung Seang memaklumkan sehingga hari ini sejumlah 293 penjaja dan 96 penjaja bazar Ramadan telah berdaftar di bawah Jom Beli Online @MBPP (JBO@MBPP).

 

AR. Yew Tung Seang.

Menjawab mengenai permohonan Kad Pergerakan PKP yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa tempatan terbabit, Tung Seang berkata, kad tersebut adalah untuk aktiviti penghantaran makanan dan barangan bekalan yang terhad mengikut destinasi dibenarkan.

 

“Kad ini semata-mata untuk mereka yang menghadapi masalah perjalanan ketika menghantar makanan dalam lingkungan 10 kilometer dari alamat perniagaan.

 

“Bagi penjaja atau peniaga berlesen pula penghantaran barangan bekalan tertakluk kepada tempat yang diluluskan oleh pihak Majlis (MBPP).

 

Walau bagaimanapun, para penjaja dan peniaga berlesen tidak diwajibkan (memohon), mereka mempunyai pilihan.

 

“(Dan) setakat hari ini, pihak kami telah menerima 195 permohonan yang perlu diteliti sebelum diberi pertimbangan untuk diluluskan kerana terdapat kriteria yang perlu dipatuhi,” tegasnya.

 

Sementara itu, Rozali memberitahu bahawa pihaknya menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan berdaftar seperti Grabfood, Food Panda dan Hippo bagi melaksanakan penganjuran e-bazar Ramadan secara ‘virtual market place’.

SR. Rozali Mohamud.

 

“Konsep ini membolehkan makanan yang dipesan secara dalam talian terus dihantar dari tempat penyediaan makanan kepada pembeli.

 

“Pihak Majlis akan menggunakan perkhidmatan penghantaran berdaftar atau terlantik.

 

Walau bagaimanapun, penghantar makanan atau rider persendirian yang disediakan oleh penyedia makanan dibenarkan.

 

“Mereka ini perlu berdaftar dengan MBSP terlebih dahulu dan dikehendaki mendapatkan suntikan typhoid dan pihak Majlis akan mengaturkannya mulai 22 April sehingga 30 April 2020,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING