MBPP minta semua pengguna perkhidmatan kemas kini maklumat peribadi segera

GEORGE TOWN – Lebih 300,000 pemilik akaun berkaitan perkhidmatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta segera mengemas kini maklumat peribadi masing-masing secara dalam talian, sebelum pelaksanaan sepenuhnya bil elektronik (e-bil) yang disasarkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ahli Majlisnya, Wong Yuee Harng memberitahu bahawa mulai 1 Januari 2021 MBPP akan mula menghantar e-bil kepada mereka yang telah pun mengemas kini akaun berwajib.

“Kita (MBPP) akan hantar e-bil kepada mereka yang telah pun mengemas kini alamat emel dan nombor telefon, penghantaran e-bil dan bil secara ‘hardcopy’ akan dilaksanakan serentak.

“Pada masa hadapan, dalam tiga tahun… kita (MBPP) nak mempertimbang penghantaran bil tanpa perlu cetak kertas lagi, sejajar dengan dasar hijau di bawah Visi Penang2030,” jelasnya kepada pemberita di Pejabat Pembayaran MBPP, Komtar di sini pada 30 November 2020.

Turut serta, Akauntan Hasil bagi Jabatan Perbendaharaan MBPP, Nor Hazliza Ismail.

Menurut Yuee Harng, kemas kini maklumat akaun boleh dibuat dengan mengimbas kod QR pada kertas bil yang dikeluarkan oleh MBPP.

“Bagi warga emas serta mereka yang tiada perkhidmatan internet, mereka boleh hadir ke kaunter pembayaran MBPP dan akan dibantu untuk membuat pembayaran di kiosk sedia ada,” jelasnya lagi.

Sehingga kini, menurutnya, pembayaran pelbagai bil perkhidmatan berkaitan MBPP boleh dibuat di kiosk MBPP yang beroperasi 24 jam dekat Padang Kota Lama; Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE); Balik Pulau dan Tingkat 3 Komtar (sehingga jam 10 malam sahaja pada hari bekerja).

Selain itu, tambahnya lagi, pembayaran bil juga boleh dilaksanakan menerusi sesawang ebayar.penang.gov.my; JomPAY dan aplikasi pintar www.snapnpay.my.

Difahamkan, ketika ini, pembayaran bil MBPP masih boleh dilakukan di kaunter berpusat agensi seperti POS Malaysia, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Kaunter Pembayaran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Sementara itu, Nor Hazliza memberitahu bahawa mulai pada bulan Disember ini, MBPP turut menyediakan mesin pembayaran bil tanpa tunai (cashless) di kiosk-kiosk sedia ada.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau memberitahu transaksi secara dalam talian meningkat kira-kira 70 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020.

Justeru, beliau berharap usaha penghantaran e-bil secara berperingkat tersebut sekali gus dapat mengurangkan kos operasi MBPP pada masa hadapan.

“Setakat ini, kalau kita (MBPP) kirim bil melalui pos, menelan kos kira-kira lebih RM2, macam sekarang kita ada lebih kurang 300,000 pemilik akaun premis, maka setiap enam bulan itu terpaksa menanggung kos yang agak tinggi lah, lebih RM1 juta.

“Dasar baharu penjimatan ini (lebih RM1 juta) membolehkan ia digunakan untuk tujuan pembangunan yang lain,” jelasnya lagi.

Menganggap e-bil sebagai normal baharu dalam pengurusan sumber MBPP, beliau berharap bahawa para pelanggan berkenaan turut dapat menjimatkan masa, kos parkir dan perjalanan apabila memilih untuk membuat transaksi bil dan pembayaran pelbagai perkhidmatan berkaitan secara dalam talian.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUMAHAD