MBPP, MPSP diharap pertimbang cadangan pembaharuan semula skim perumahan awam seliaannya – Exco

Admin

BATU LANCANG – Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dicadang mempertimbangkan kaedah pembaharuan semula skim-skim perumahan awamnya dalam usaha mengurangkan beban kos penyelenggaraan bangunan-bangunan berkaitan.

 

Cadangan tersebut disuarakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika Majlis Perasmian Projek Menggantikan Bumbung Flat MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) di Lintang Batu Lanchang pagi ini.

 

Jagdeep memberitahu bahawa keseluruhannya terdapat 14 skim perumahan melalui kaedah sewa di bawah MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

 

“Sejak 2008 hingga sekarang, kedua-dua PBT telah membelanjakan hampir RM21 juta untuk menyelenggara 14 skim perumahan awam ini.

 

“Walaupun, ianya adalah langkah baik namun untuk terus menyelenggara bangunan yang telah mencecah puluhan tahun melibatkan kos yang tinggi dan tidak efektif.

 

“Untuk skala ekonomi yang lebih baik, pendekatan atau kaedah pembaharuan semula mampu menjimatkan kos (penyelenggaraan) ini,” ujarnya.

 

Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, Jagdeep menyatakan bahawa sekiranya skim-skim awam ini diperbaharui semula ia bukan sahaja menjimatkan kos malah bangunan lebih besar boleh didirikan di kawasan sama.

 

“Tak perlu cari tanah baharu, di bandar memang susah untuk dapat tanah, tapi di sini (skim-skim perumahan PBT) tanah sudah tersedia.

 

“Jadi jika diperbaharui semula, penyewa mendapat tiga keuntungan, satu mereka mendapat unit baharu, kedua iaitu unit yang lebih besar dan ketiga… unit yang mempunyai kemudahan lebih berbanding kini di mana satu bangunan lebih besar dengan jumlah unit yang lebih banyak dapat didirikan,” ujarnya lanjut.

 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Ong Ah Teong.

 

Difahamkan, MBPP telah memperuntukkan sebanyak RM246,650.61 untuk melakukan penukaran bumbung baharu flat berkenaan , kerja telah dimulakan pada September 2018 dan siap sepenuhnya Februari lalu.

 

Di peringkat Kerajaan Negeri, Jagdeep berkata beliau telah memperkenalkan Skim Pembaharuan Semula pada tahun 2015 kepada perumahan di bawah seliaan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

 

“Kita (Kerajaan Negeri) sekarang dalam proses bincang dengan Pusat membabitkan beberapa isu perundangan supaya kaedah (pembaharuan semula) ini boleh dilaksanakan.

 

“Pihak PDC telahpun mengenal pasti lima projek untuk diperbaharui semula iaitu masing-masing tiga di bahagian pulau dan seberang (dua),” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Menurut Jagdeep, melalui perbincangan bersama Kerajaan Pusat, Pulau Pinang diminta menerajui projek perintis pembaharuan semula tersebut di dalam negara.

 

“Kerajaan Pusat nak kita (Pulau Pinang) buat projek perintis ini dulu sebab katanya Skim Pembaharuan Semula diwujudkan pada tahun 2015, manakala mereka di peringkat Pusat dua tahun kemudian (2017).

 

“Sememangnya kita akan jalankan satu projek perintis dan diharap projek pertama ini di Taman Mahsuri, Bayan Baru  boleh dimulakan sebelum akhir tahun ini,” ujarnya.