MBPP perkenal zon khas ‘Bike Box’ tingkat keselamatan penunggang motosikal serta basikal, laksana percubaan selama tiga bulan

DATUK KERAMAT – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini dalam tempoh percubaan selama tiga bulan untuk melaksanakan projek rintis zon khas bagi motosikal serta basikal yang dikenali sebagai ‘Bike Box’ di tiga lokasi berasingan di sekitar pulau.

Ahli Majlis MBPP, Tan Chiew Choon berkata, cadangan penyediaan zon khas Bike Box berkenaan adalah bagi meningkatkan keselamatan penunggang motosikal serta basikal yang acap kali terpaksa berhenti bersebelahan atau di belakang pemandu kenderaan lain yang lebih besar.

Jelasnya, situasi ini menimbulkan bahaya kepada penunggang motosikal dan basikal apabila kehadiran mereka tidak disedari pemandu lain seperti kereta, van, bas atau lori.

“Pada ketika ini, penunggang-penunggang motosikal dan basikal tidak mempunyai zon khas untuk berhenti.

“Justeru, zon khas Bike Box ini diwujudkan bagi meningkatkan penglihatan pemandu kenderaan lain terhadap penunggang motosikal ataupun basikal.

“Ia dicadangkan di penjuru simpang dan tiga meter ke belakang serta diikuti dengan garisan berhenti untuk kenderaan lain. Kelebaran zon khas ini adalah mengikut kelebaran jalan sedia ada.

“Jika terdapat lintasan pejalan kaki, zon khas ini akan diadakan di belakang lintasan tersebut dan diikuti dengan garisan berhenti untuk kenderaan lain,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Bike Box di persimpangan Jalan Datuk Keramat/Jalan Perak, di sini semalam.

Hadir sama dua Ahli Majlis MBPP, Tan Hooi Peng, Mohamed Yusoff Mohamed Noor dan Tan Soo Siang serta Jurutera Kanan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam MBPP, Zainuddin Mohamad Shariff.

Tiga persimpangan telah dipilih untuk menguji pelaksanaan projek rintis ini iaitu di persimpangan Jalan Datuk Keramat/Jalan Perak, persimpangan Jalan Ahmad Nor/Jalan Jelutong dan persimpangan Jalan Datuk Keramat/Jalan Macalister.

Untuk tujuan tersebut, Chiew Choon memberitahu bahawa Majlis memperuntukkan sekitar RM3,000 untuk setiap Bike Box yang disediakan.

“Pihak Majlis berharap agar penunggang motosikal serta basikal dapat memanfaatkan zon khas ini dengan baik dan pengguna jalan raya yang lain dapat memberikan kerjasama dengan memberhentikan kenderaan di belakang zon khas yang diwujudkan.

“Keprihatinan pengguna jalan raya dengan memberikan keutamaan kepada penunggang motosikal serta basikal dapat meningkatkan keselamatan sekaligus mengurangkan risiko kemalangan,” ujarnya lanjut.

Pada sidang media yang sama, Hooi Peng menjelaskan bahawa sebagai tambahan meningkatkan keselamatan pejalan kaki terutamanya, MBPP telah mengambil inisiatif menambah tanda arahan lalu lintas.

“Kita (MBPP) telah menambah digital countdown untuk kenderaan, perkataan AWAS, LIHAT KIRI dan LIHAT KANAN di jalan raya, serta menambah beberapa papan tanda amaran.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha terhadap kempen Pedestrian Is King,” jelas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD