MBPP praktik telesidang pertama bagi elak penularan COVID 19

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), mengambil inisiatif mengadakan mesyuarat melalui telesidang pertama semalam sebagai langkah membendung penularan COVID-19.

Rata-rata Ahli Majlis bagi MBPP yang ditemui menzahirkan sokongan terhadap inisiatif tersebut sebagai langkah pencegahan awal.

Bagi Ahli Majlis Mohd Suhairi Arumugam Abdullah, telesidang melibatkan Jabatan Kesihatan Awam (JKA) sangat efektif walaupun tanpa bersemuka bersama pihak berkepentingan.

“Telesidang yang menggunakan aplikasi Lifestyle ini dirasakan sangat efektif dan sesuai digunapakai sekarang sebagai salah satu langkah dalam mengurangkan penularan wabak COVID 19,” katanya.

Kenyataan ini turut disokong oleh Ahli Majlis, Rohaizat Hamid yang menyifatkan telesidang tersebut mampu menyekat penularan wabak pandemik berkenaan.

“Keputusan untuk melakukan telesidang ini selari dengan perumpamaan ‘prevention is better than cure’ dimana perkara yang perlu dicegah haruslah dibuat bagi memastikan semua dalam keadaan baik,” jelasnya.

Mengulas isu sama Ahli Majlis Muhamad Khairul Mohd Ali berharap agar jabatan lain di MBPP juga boleh mengambi langkah sama sebagai langkah pencegahan awal.

“Ia boleh diklasifikasikan sebagai bekerja dari rumah kerana konteksnya adalah masih sama dengan persidangan biasa yang dilakukan secara bersemuka,” jelas Muhamad Khairul

Teks: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: RIADZ AKMAL