MBPP rangkul Anugerah Inovasi Ketua Menteri 2020

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi projek ‘Sistem Pengurusan Tempat Letak Kereta Smart Parking MBPP’ berjaya merangkul Anugerah Inovasi Ketua Menteri Pulau Pinang bagi tahun 2020.

Kemenangan tersebut melayakkan pasukan MBPP membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, sijil penghargaan serta cek bernilai RM10,000 yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam majlis di sini sebentar tadi.

Kon Yeow dalam ucapan beliau sebelum itu berharap agar projek inovasi yang dijalankan itu secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan negeri Pulau Pinang terutamanya dalam sektor pendigitalan.

Pasukan MBPP berjaya membawa pulang piala pusingan, sijil penghargaan dan cek bernilai RM10,000 selepas memenagi Anugerah Inovasi Ketua Menteri bagi tahun 2020.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang pertandingan Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang (AIKNPP) tahun 2020.

“Adalah menjadi harapan saya agar kemenangan ini bakal menjadi sumber inspirasi kepada semua jabatan negeri dan warga kerja untuk terus membuat anjakan inovasi seiring persedaran era globalisasi kini.

“Hal ini supaya kita dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri Pulau Pinang secara menyeluruh,” katanya.

Hadir sama, Ketua hakim Syarie jabatan kehakiman Syariah negeri Pulau Pinang, YAA Dato’ Muhamad Abdul Karim Wahab; Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pengurusan) Ahmad Rizal Hanapiah.

Difahamkan, Anugerah Inovasi Ketua Menteri Pulau Pinang merupakan kategori utama bagi pertandingan AINKPP yang dianjurkan sejak tahun 2017.

Pada tahun 2020, sebanyak 16 projek AINKPP telah dipertandingkan melibatkan 11 penyertaan bagi kategori ICT manakala lima bagi Kategori Bukan ICT.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILA NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD