MBPP sarankan pelanggan guna perkhidmatan bayaran dalam talian

GEORGE TOWN – Pelanggan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang ingin membuat pembayaran Cukai Taksiran Separuh Tahun Pertama bagi tahun 2022 disarankan menggunakan platform secara dalam talian yang disediakan.

 

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, saranan tersebut adalah bagi mengelakkan berlakukan kesesakan di kaunter-kaunter sedia ada di Aras 3, Komtar sekali gus mengekang risiko jangkitan COVID-19.

 

Setakat hari ini, terdapat 109 perkhidmatan yang tersedia secara dalam talian termasuk 199 pembayaran perkhidmatan secara dalam talian.

 

“Maka, bagi pelanggan yang ingin membuat pembayaran cukai taksiran atau apa-apa sahaja bayaran tidak perlu hadir secara fizikal ke kaunter sebaliknya menggunakan perkhidmatan secara dalam talian yang disediakan,” ujarnya pada sidang media sejurus mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 2/2022 yang diadakan secara hibrid pada 25 Februari 2022.

 

AR. Yew Tung Seang mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 2/2022.

 

Menurut Tung Seang, selain menyarankan penggunaan perkhidmatan secara dalam talian, pihaknya turut mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan saringan kendiri menerusi inisiatif i-Sihat untuk semua kakitangannya termasuk Ahli-Ahli Majlis pada setiap hari Isnin, berkuat kuasa serta-merta, berbanding sebelum ini dua minggu sekali.

 

Pihak Majlis (MBPP) akan membekalkan kit ujian kendiri kepada semua kakitangan termasuk Ahli-Ahli Majlis untuk melakukan ujian setiap hari Isnin.

 

“Malah, MBPP juga akan mengurangkan mesyuarat secara fizikal dan meneruskan mesyuarat secara dalam talian bagi mengekang risiko jangkitan,” katanya yang mengakui terkejut dan gusar apabila kes jangkitan COVID-19 meningkat secara mendadak bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

 

Mengulas lanjut, Tung Seang memaklumkan bahawa langkah-langkah proaktif tersebut diambil setelah 112 kakitangannya disahkan positif COVID-19 bagi tempoh 21 hingga 24 Februari 2022. 

 

Agak membimbangkan apabila daripada jumlah tersebut, 72 orang ialah anggota barisan hadapan.

 

“Walaupun keadaan masih dalam kawalan dan masih cukup tenaga kerja, namun kita (MBPP) perlu bertindak segera agar perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas nanti.

 

Saya juga menyeru kepada semua kakitangan MBPP termasuk anggota barisan hadapan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

 

“Hal ini demikian kerana, hasil ‘forensik’ mendapati berlaku kelalaian dalam kalangan kakitangan yang mana ada antara mereka tidak mematuhi penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dengan betul dan sebagainya.

 

“Susulan itu, pihak Majlis telah memutuskan untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat kakitangan yang lalai atau cuai,” jelasnya.

 

Ditanya mengenai bentuk tindakan, Tung Seang memberitahu bahawa mereka yang didapati bersalah akan diberikan surat amaran dan nasihat serta boleh dikenakan tindakan disiplin.

 

Terdahulu, mesyuarat telah meluluskan pemberian rebat pada kadar nilaian tahun ini untuk semua jenis hartanah di bahagian Pulau.

 

Semua rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan kampung akan diberikan rebat 100 peratus berbanding kenaikan kadar taksiran pada tahun 2020.

 

“Ini bermakna pemilik hartanah hanya perlu membayar kadar yang sama seperti sebelum tahun 2020.

 

“(Dan) bagi kategori hartanah lain, sebanyak 50 peratus rebat diberikan berbanding kenaikan kadar taksiran pada tahun 2020,” katanya.

 

Difahamkan, melalui pemberian rebat ini MBPP akan kehilangan RM11.6 juta.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MBPP