MBPP tambah baik jadual kutipan sampah domestik, pukal sempena Aidilfitri

Admin
mbpp

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil langkah proaktif dengan menambah baik jadual perkhidmatan kutipan sampah domestik dan pukal sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Ahli Majlis MBPP, Rohaizat Hamid berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian usaha untuk memastikan keselesaan umum dan kebersihan persekitaran semasa musim perayaan.

Menurutnya lagi, kutipan sampah domestik akan dilakukan sebanyak tiga kali seminggu mulai 10 April ini yang mana pelanggan di premis kediaman bertanah akan terus menikmati perkhidmatan mengikut jadual biasa sepanjang minggu, tetapi dengan penambahan frekuensi (kutipan).

rohaizat hamid
ROHAIZAT Hamid.

“Bagi premis kediaman bertingkat pula, jadual kutipan akan dikekalkan seperti biasa, dijalankan setiap hari kecuali Ahad.

“Walau bagaimanapun, dalam usaha untuk menangani peningkatan jumlah sampah sempena Aidilfitri, MBPP akan melaksanakan kutipan dua kali sehari di tong komunal dan multilift bermula 1 April hingga 9 April 2024.

“Jadual tambahan ini adalah bermula pada pukul 4 pagi hingga 10 pagi, dan 12 tengah hari hingga 4 petang,” katanya pada sidang media di sini, tadi.

Bagi sampah pukal pula, Rohaizat memaklumkan penambahan tong multilift di beberapa pasar awam di bahagian pulau.

“Langkah ini diharapkan dapat memudahkan orang ramai untuk membuang sampah pukal seperti perabot lama, tilam, bantal, dan sebagainya.

“Kutipan akan mula berkuat kuasa pada 1 April bagi premis kediaman bertingkat, jadual kutipan akan dikekalkan seperti biasa, dijalankan setiap hari kecuali Ahad.

“MBPP juga akan melaksanakan pungutan sampah pukal mulai 1 April hingga 9 April 2024 bagi sampah bersaiz biasa.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk meletakkan sampah dalam beg atau bekas yang bersesuaian di hadapan premis masing-masing.

“Sekiranya terdapat sampah dalam kuantiti yang banyak, orang ramai digalakkan untuk menghubungi Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP di talian 04-263 3000 untuk mendapatkan perkhidmatan khas.” jelasnya.

Teks & Gambar : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY