Agihan bakul makanan, ringankan beban golongan asnaf sempena Ramadan

Admin
whatsapp image 2024 04 02 at 11.53.57 am

TANJONG BUNGA – Sebanyak 100 bakul makanan diagihkan kepada golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah, B40, sekitar Tanjong Bunga sempena bulan Ramadan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari berkata, selain bertujuan meringankan beban penerima, agihan bakul makanan itu juga dapat membantu persiapan menjelang Aidilfitri yang bakal tiba.

“Sempena bulan Ramadan tahun ini, sejumlah RM122,360 diperuntukkan merangkumi peruntukan daripada KADUN Tanjong Bunga sebanyak RM59,360; Kerajaan Negeri (RM25,000) dan Kerajaan Persekutuan (RM38,000).

“(Dan) alhamdulillah, pelbagai program dan aktiviti telah disusun oleh pejabat saya (Pejabat ADUN Tanjong Bunga) seperti agihan kurma, bubur lambuk, juadah moreh, agihan bakul makanan, majlis berbuka puasa dan sebagainya untuk komuniti setempat,” ujarnya pada Majlis Iftar Jamae di Masjid Tuan Guru dekat Tanjong Tokong pada 30 Mac lalu.

whatsapp image 2024 04 02 at 11.53.37 am
ZAIRIL Khir Johari (tengah) bersama-sama dengan penerima bantuan pada Program Iftar Jamaie baru-baru ini.

Difahamkan, majlis berbuka puasa tersebut diadakan dengan kerjasama Pejabat ADUN Tanjong Bunga, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dan penyedia rangkaian telekomunikasi, Kumpulan Maxis Malaysia.

Dalam majlis sama, Zairil turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Zakat Pulau Pinang turut menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM15,000 untuk diagihkan kepada 150 penerima serta RM10,000 kepada pihak Masjid Tuan Guru melalui Pejabat Timbalan Ketua Menteri I.

“Selain itu, Masjid Karwa Tanjong Tokong turut menerima Sumbangan Madani berbentuk tunai sebanyak RM10,000 beserta 200 bakul makanan dengan kos berjumlah RM28,000 untuk diedarkan kepada golongan asnaf dan keluarga B40 di kawasan setempat.

“Program Jualan Rahmah turut dianjurkan di kawasan Tanjong Tokong, Tanjong Bunga dan Batu Ferringhi dalam membantu isi rumah memperoleh barangan dengan harga yang lebih berpatutan dan mampu milik sekali gus meringankan beban mereka,” jelasnya.

Zairil turut mengumumkan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KADUN Tanjong Bunga pada 1 Mei 2024 di hadapan Pangsapuri Warisan, Tanjong Tokong bermula 11.00 pagi hingga 1.00 petang.

Sebelum itu, melalui laman Facebook rasmi beliau, turut dimuat naik program-program sepanjang bulan Ramadan di KADUN Tanjong Bunga antaranya agihan takwim Ramadan, edaran bubur lambuk dan kurma serta nasi bungkus sebagai juadah kepada penduduk di kawasan sekitar Tanjong Tokong, Tanjong Bunga dan Batu Ferringhi.

 

Teks & Gambar :  NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY