MBPP teliti kaedah baru bantu penjaja dan peniaga kecil terjejas

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang meneliti kaedah baru bagi membantu golongan penjaja dan peniaga kecil di negeri ini yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, pihaknya kini di peringkat kajian untuk memanfaatkan transformasi digital bagi memastikan golongan berkenaan dapat meneruskan kelangsungan perniagaan dalam jangka masa pendek, sederhana serta panjang.

“Insentif wang tunai RM500 yang diberikan secara one-off oleh Kerajaan Negeri kepada penjaja dan peniaga kecil adalah berbentuk bantuan segera tetapi kita juga perlu melihat impak lebih besar yang akan berlaku selepas ini, terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

Ar. Yew Tung Seang.

“Oleh itu, kami pada masa ini sedang mengkaji kaedah pendigitalan untuk membantu mereka dan sekiranya projek ini berjaya, maka kami akan melancarkannya.

“Suka atau tidak, kita semua harus menerima realiti bahawa platform digital merupakan gaya hidup pada masa hadapan.

“Justeru, transformasi adalah suatu keperluan yang mana setiap daripada kita perlu berfikir bagaimana untuk mengubah cara hidup mulai sekarang dalam mendepani cabaran-cabaran ini dan menjadikannya sebagai satu peluang,” katanya pada sidang media menerusi Facebook Live dekat Komtar pagi ini.

Jagdeep Singh Deo bersama-sama Ar. Yew Tung Seang dan Sr. Rozali Mohamud meneliti statistik pematuhan PKP di pasar-pasar awam di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali turut serta dalam sidang media tersebut.

Sementara itu, Jagdeep turut memuji usaha dilaksanakan oleh MBPP dan MBSP sehingga berjaya mencapai kadar pematuhan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu sebanyak 99 peratus dan 99.01 peratus masing-masing.

“Ini merupakan pencapaian yang amat tinggi dan menunjukkan adanya kerjasama yang baik daripada orang ramai untuk mematuhi arahan PKP.

“Saya telah tegaskan sebelum ini bahawa tidak ada kompromi terhadap aspek kesihatan dan keselamatan awam. Buktinya adalah apabila kita bertindak menutup satu pasar awam kerana telah melanggar PKP,” tegasnya lagi.

Difahamkan, bagi MBPP daripada 36,635 premis yang telah diperiksa sebanyak 36,278 didapati mematuhi PKP dan hanya 357 premis masih gagal mematuhi (PKP).

Bagi MBSP pula, daripada 53,103 premis yang diperiksa, 52,577 atau 99.01% telah mematuhi PKP dan 526 premis lagi dikesan gagal berbuat demikian dan telah diarahkan tutup.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memaklumkan bahawa beberapa perniagaan tertentu yang dibenarkan beroperasi di negeri juga perlu mematuhi peraturan atau berdepan tindakan tegas.

Perniagaan berkenaan termasuk kedai input pertanian (baja dan racun); kedai-kedai perkakasan dan alat ganti kenderaan (jentera pertanian dan industri) serta kedai-kedai menjual makanan dan ubatan haiwan kesayangan.

Sr. Rozali Mohamud.

Semua perniagaan ini dibenarkan beroperasi pada hari Isnin dan Khamis dari pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang bermula dari hari ini (6 April).

Dalam pada itu, Rozali memberitahu bahawa berdasarkan pemerhatian, mendapati kebanyakan penduduk di Seberang Perai sudah mula terbiasa dengan pematuhan jarak sosial satu meter.

Beliau berkata, peningkatan tersebut dapat dilihat di pasar-pasar awam yang sebelum ini agak sukar dikawal seperti di pasar awam Bukit Mertajam, Taman Berjaya, Taman Selamat, Kampung Baru dan Mak Mandin.

“Terima terima kasih kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis MBSP serta ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kerana turut membantu memantau keadaan,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING