MBPP terajui inisiatif pembersihan jalan mekanikal, jentera Dulevo 6000 tingkat kecekapan dan kualiti

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang memperuntukkan lebih RM1 juta bagi membeli sebuah jentera jalan Dulevo 6000 sebagai usaha serampang dua mata dalam menjimatkan masa pembersihan serta mengurangkan risiko keselamatan kepada pekerja.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika majlis pelancarannya pagi ini berkata, inisiatif pembersihan jalan secara mekanikal mampu meningkatkan kecekapan dan kualiti serta menjimatkan kos pada jangka masa panjang.

“Setiap tahun, MBPP memperuntukkan lebih kurang RM12.77 juta untuk kontrak pembersihan jalan dan parit, jumlah ini bukanlah satu jumlah yang kecil, justeru Majlis perlu melihat bagaimana untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti melalui pemodenan melalui inisiatif pembersihan menggunakan kaedah secara mekanikal.

“Walaupun peruntukan yang tinggi diperlukan untuk pembelian jentera, namun kita perlu membuat perbandingan dari segi keupayaan dan tambah nilai yang dapat diperolehi daripada jentera mekanikal ini yang dapat menjadikan Pulau pinang lebih bersih ke arah mencapai matlamat Visi Penang2030.

“Jentera jenis Dulevo 6000 ini bukan hanya dapat menjimatkan masa malahan turut mengurangkan risiko keselamatan kepada pekerja di mana ia berupaya mengambil alih tugas (pekerja) seramai 60 orang dan lebih tenaga kerja ini kemudiannya boleh disalurkan kepada kawasan atau perkhidmatan pembersihan lain seperti di pasar awam, kompleks makanan dan juga tandas awam,” ujarnya pada Majlis Perasmian Inisiatif Pembersihan Jalan Secara Mekanikal dekat Dewan Bandaraya di sini pagi ini.

Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang, Dato’ Ir. Iddnan Mohd. Rozali (Setiausaha Bandaraya), Ong Jet Wee (Pengurus Besar Jetcan) dan Davide Scimia (Pengurus Eksport Asia Dulevo International).

Jentera ini mampu menyapu jalan berkelebaran 3.5m (meter) dan berkeupayaan kelajuan 8-10km/sejam di mana ia boleh membersihkan kawasan seluas 105,000m2/jam iaitu lima kali ganda liputan lebih besar dari jentera sedutan sedia ada.

Uniknya, jentera buatan Itali tersebut bukan sahaja mampu mengutip sampah yang besar dan berat sehingga 10kg (kilogram), malahan turut dilengkapi dengan ciri-ciri seperti penapis habuk bagi mengurangkan pencemaran, reka bentuk yang ergonamik, pemanduan hidrostatik dan sistem tekanan air tinggi bagi membersihkan jalan.

Menurut Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, penggunaan jentera Dulevo 6000 tersebut adalah yang pertama di dalam negara dan menjadikan Pulau Pinang dan MBPP sekali lagi menerajuinya.

“Buat masa ini, kita (MBPP) sedang adakan perbincangan lanjut jika terdapat keperluan untuk menambah (membeli) jentera ini, malah saya juga akan mengesyorkan kepada Datuk Bandar MBSP (Majlis Bandaraya Seberang perai) untuk mempertimbangkan penggunaan jentera ini di kawasan Seberang,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN