MBPP terima 2 anugerah pengiktirafan MGBC

Admin

GEORGE TOWN – Kesungguhan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam melaksanakan pembangunan lestari mendapat pengiktirafan apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan menerima dua anugerah MalaysiaGBC Leadership in Sustainability Award 2020 daripada Malaysia Green Building Council (MGBC) baru-baru ini.

MBPP telah diiktiraf sebagai Best Sustainability Leadership for Institution, manakala Datuk Bandar, Dato’ Ar. Yew Tung Seang secara peribadinya menerima anugerah Best Corporate Leadership for Male.

Lebih bermakna apabila MBPP turut diberikan pengiktirafan khas kehormat dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ekoran pencapaian cemerlang dalam menerapkan SDG dalam lingkungan binaan lestari.

Sejurus majlis penyampaian anugerah serta sijil pengiktirafan sebentar tadi, Tung Seang dengan rendah diri menerima anugerah berkenaan dan berkata bahawa, pengiktirafan tersebut bukanlah pencapaian peribadi beliau sebaliknya hasil sokongan seluruh warga kerja MBPP dan rakyat Pulau Pinang khasnya.

“Terima kasih kepada seluruh warga kerja MBPP yang bertungkus-lumus selama ini dan masyarakat khasnya yang banyak memberi sokongan kepada Majlis dalam melaksanakan inisiatif hijau dan pembangunan lestari.

“Anugerah-anugerah ini adalah untuk anda sebenarnya,” ujar beliau ketika ditemui di SDG Pillars di sini pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Ahli-ahli Majlis dan Mubarak Junus (Pengarah Khidmat Pengurusan MBPP).

Trofi dan sijil penghargaan disampaikan oleh Presiden MGBC, Sim Chee Liang sambil disaksikan peserta kayuhan Bike on Friday (BOF) bersempena kayuhan edisi ke-289 hari ini.

MalaysiaGBC Leadership in Sustainability Award 2020 adalah untuk meraikan pencapaian perniagaan, projek atau kepimpinan dalam binaan persekitaran lestari di Malaysia dari tahun 2018 hingga 2020. Daripada lapan anugerah yang dipertandingkan, dua telah dinobatkan kepada MBPP, selain satu anugerah khas.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: CHAN KOK KUAN