MBPP terima Certified Provisional di atas inisiatif bangunkan projek Bandar Raya Rendah Karbon di Tanjung Pinang Straits Quay

Admin

GEORGE TOWN – Tanjung Pinang Straits Quay telah dipilih sebagai projek perintis bagi melaksanakan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon (LCCF) di bahagian kawasan pulau.

Perkara tersebut diumumkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di Dewan Bandaraya, di sini pagi ini.

Tung Seang berkata, kawasan berkenaan dipilih sebagai projek perintis setelah analisa dan penilaian terhadap data-data terkumpul menunjukkan bahawa projek Tanjung Pinang Straits Quay menghasilkan sebanyak 30,481.72tCO2 bagi tahun 2016.

Pencapaian ini sekaligus menerima pengiktirafan Certified Provisional daripada pihak Greentech Malaysia melalui Majlis Pengiktirafan dan Perkongsian Pengalaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam Pelaksanaan Perbandaran Rendah Karbon yang diadakan di Kuala Lumpur 18 Oktober lalu.

Inisiatif MBPP bagi menjayakan perlaksanaan projek LCCF ini akan diteruskan di keseluruhan kawasan di bawah pentadbiran Majlis bagi menjayakan Bandar Raya Rendah Karbon di kawasan pulau,” ujarnya.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.

LCCF dibangunkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) turut bekerjasama dengan Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) bagi memudahkan semua pihak terbabit di dalam perancangan pembangunan Bandar Rendah Karbon di Malaysia.

Mengulas lanjut, Tung Seang berkata, pelaksanaan LCCF bertujuan untuk membantu Majlis dalam menilai asas semasa penanda aras dan membekalkan strategi-strategi yang boleh dijalankan dalam mengurangkan tahap pelepasan karbon di dalam projek pembangunan masing-masing.

Tanjung Pinang Straits Quat meliputi kawasan seluas 97.38 hektar yang telah dikenal pasti dengan kepadatan penduduk anggaran seramai 10,608 orang.

Lokasi ini merupakan kawasan projek bercampur iaitu kawasan kediaman, komersial, tanah lapang dan pelbagai aktiviti yang boleh dibuat kajian pertama.

Kita (MBPP) menggunakan pendekatan projek secara City-Based Approach yang terbahagi kepada tiga kriteria utama iaitu persekitaran urban, infrastruktur urban dan bangunan,” jelasnya.