MBPP tetapkan premis perniagaan perlu papar maklumat vaksinasi pekerja

PULAU TIKUS – Semua pemilik perniagaan bagi 19 kegiatan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi di bahagian pulau perlu memaparkan status vaksinasi pekerja di pintu masuk premis masing-masing bermula semalam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata bahawa pihaknya telah mengeluarkan satu borang dengan format yang diselaraskan bagi memudahkan para peniagaan.

“Peniaga boleh memuat turun borang-borang ini dari laman web kami dan mengisi maklumat status vaksinasi pekerja di premis-premis perniagaan masing-masing.

Ar. Yew Tung Seang menyerahkan borang maklumat status vaksinas kepada salah seorang peniaga dekat Gurney Paragon Mall.

“Pemilik perniagaan kemudiannya diminta untuk memaparkan borang ini kepada pelanggan dan sekiranya mereka gagal berbuat demikian, maka premis perniagaan tersebut boleh diarahkan tutup serta-merta.

“MBPP bersama-sama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan semua pemilik premis mematuhi arahan ini,” katanya pada sidang media dekat Gurney Paragon di sini semalam.

Tambah Tung Seang, pemilik premis juga perlu mengemas kini maklumat pada borang tersebut mengikut bilangan pekerja yang menerima vaksin lengkap.

“Borang ini perlu dikemas kini mengikut maklumat terkini yang mana sekiranya minggu ini hanya dua sahaja pekerja sudah divaksin dan minggu depan bertambah menjadi empat orang pemilik kedai perlu memaparkan poster baharu dengan maklumat terkini.

“Ini adalah tanggungjawab pemilik kedai untuk memaparkan maklumat mengenai vaksin dan selebihnya terpulang kepada pelanggan sama ada mahu masuk ke premis tersebut atau tidak.

“Memandangkan kadar harian kes positif COVID-19 masih lagi tinggi di negeri ini, jadi semua pihak perlu menjaga keselamatan, para peniaga termasuk pelanggan akan dikenakan tindakan sekiranya mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” jelasnya.

Borang status vaksinasi permu dipaparkan di pintu masuk premis perniagaan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Tung Seang berkata, kira-kira 2,000 penjaja kecil termasuk pekerja mereka akan menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movac) di daerah Timur Laut dan Barat Daya pada 30 Ogos ini.

“Program ini dikhaskan untuk memudahkan penjaja kecil menerima vaksin Covid-19 dan mereka akan memperoleh vaksin ini secara berperingkat.

“Mana-mana penjaja yang masih belum mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau yang sudah mendaftar dan masih belum mendapat temu janji boleh berhubung dengan pihak MBPP,” ujarnya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkara tersebut sila hubungi talian 04-2637637 / 04-2637000.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING