MBPP umum perubahan jadual kutipan sampah domestik & pukal sempena Tahun Baru Cina

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini mengumumkan perubahan jadual dan perkhidmatan kutipan sampah domestik dan pukul sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, perubahan jadual kutipan ini akan bermula pada 1 Februari sehingga 4 Februari 2019.

“Kutipan sampah domestik bagi premis kediaman bertanah akan dijalankan mengikut jadual biasa iaitu tiga kali seminggu sepanjang minggu ini sehingga hari perayaan.

“Bagi kediaman bertingkat, kutipan mengikut jadual biasa setiap hari kecuali hari Ahad sehingga hari perayaan nanti.

“Manakala bagi kutipan tong komunal dan multi lift pula akan dibuat sebanyak dua kali sehari bermula 1 Februari sehingga 4 Februari ini dengan ketetapan kutipan pertama bermula 4:00 pagi hingga 10:00 pagi dan kutipan kedua bermula 12:00 tengah hari hingga 4:00 petang,” ujarnya pada sidang media sejurus mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 1/2019 dekat Dewan Bandaraya di sini pagi ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali serta barisan Ahli Majlis MBPP dan Ketua-ketua Jabatan berkaitan.

Dalam pada itu, Tung Seang turut mengumumkan penambahan tong multi lift di pasar-pasar awam dan kompleks makanan yang sering menjadi hotspot pembuangan sisa secara pukal semasa musim perayaan Tahun Baru Cina.

“Bagi memudahkan masyarakat membuang sampah pukal, pihak MBPP akan menambah bilangan tong multi lift di beberapa pasar awam yang sering menjadi tumpuan mulai 1 Februari ini.

“Antaranya di Pasar Awam Pulau Tikus, MBPP akan menambah satu unit tong multi lift lagi, di Pasar Awam Taimina Sungai Ara (1 unit) dan Pasar Awam Lebuh Campbell (1 unit),” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya juga akan memberikan perkhidmatan tambahan kutipan sampah pukal mulai 28 Januari sehingga 4 Februari 2019 yang merupakan perkhidmatan tambahan kepada perkhidmatan sedia ada.

Bagi pungutan sampah pukal yang melebihi muatan pula, difahamkan MBPP menyediakan perkhidmatan khas dan orang awam dinasihati supaya menghubungi Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP di talian 04-282 3979, waktu pejabat.

Dalam sidang media sama, Tung Seang turut menegaskan bahawa pihaknya melarang mana-mana anggota atau kontraktor menuntut atau menerima sebarang bayaran angpow semasa menjalankan perkhidmatan pungutan sampah dan pembersihan.

“Pihak Majlis amat tegas akan hal sebegini dan meminta kerjasama daripada penduduk untuk tidak memberikan sebarang bentuk sumbangan terhadap mana-mana pihak.

“(Dan) sekiranya insiden sedemikian berlaku, sila hubungi Hotline MBPP di talian 04-263 7637,” tegasnya.