MBSP akan terus anjur Anugerah Komuniti Mampan – Datuk Bandar

SEBERANG JAYA – Pusat Sumber Alam Sekitar Seberang Perai Utara muncul sebagai pemenang Anugerah Komuniti Mampan 2018/2019, dengan membawa pulang tunai RM3,000 beserta sijil.

DATUK Bandar MBSP berucap pada acara perasmian Majlis Penyampaian Anugerah Komuniti Mampan 2018/2019 di Audotorium Menara Bandaraya, tadi..

Ketika berucap, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata acara tersebut akan terus dipertahankan walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan telah diiktiraf sebagai ‘bandar raya’.

“Anugerah Komuniti Mampan 2018/2019 telah masuk penggal keempat sejak mula dilaksanakan pada tahun 2013.

“Daripada 12 penyertaan pada tahun 2013, bilangan komuniti yang menyertai anugerah ini telah bertambah kepada 21 penyertaan pada tahun 2016/2017.

“Anugerah kali ini, 22 komuniti telah menyertai dan hanya 15 komuniti dipilih untuk menerima hadiah.

“(Justeru,) saya berharap agar anugerah ini dapat dipertahankan bagi memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat untuk mencapai ‘Seberang Perai Aspirasi Bandar Masa Depan’,” jelasnya di Auditorium Menara Bandaraya MBSP dekat Bandar Perda, pagi ini.

Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod dan barisan Ahli Majlis MBSP lain turut sertai majlis tersebut.

Selain itu, Rozali turut merakamkan penghargaan kepada Pengurus Kumpulan Amphenol TCS (Malaysia) Sdn. Bhd., Datuk Lee Teong Li kerana menaja acara penyampaian anugerah pada kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu bahawa Pelan Strategi Seberang Perai 2018-2022 antara lain komited dalam memulihara lagi alam sekitar di Seberang Perai.

Tambah beliau, MBSP mempunyai sasaran yang jelas dengan pengurangan 50 peratus pelepasan karbon menjelang tahun 2022 iaitu pengurangan penghasilan karbon dioksida (CO2) daripada 8.0 metrik tan per kapita kepada 4.0 tan metrik tan per kapita.
“MBSP sasar menjadi ‘carbon natural city’ pada tahun 2030, iaitu 10 tahun dari Januari 2020 dan ‘zero carbon city’ pada tahun 2050.

“MBSP juga komited untuk bersama bandar raya lain di dunia untuk menangani perubahan cuaca supaya dapat mengehadkan pemanasan global ke 1.5 darjah celcius,” jelasnya.

Berikut adalah senarai empat pemenang Anugerah Komuniti Mampan 2018/2019:

Tempat Pertama: Pusat Sumber Alam Sekitar Seberang Perai Utara

Tempat Kedua: Pertubuhan Penduduk Kampung Gajah (RM2,500)

Tempat Ketiga: Perbadanan Pengurusan Taman Taman Pandan Butterworth (RM2,500)

Hadiah Inovasi Khas: Rukun Tetangga Taman Keenways Bukit Mertajam (RM700).

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD