MBSP berjaya kutip RM107.56 juta sepanjang tempoh promosi cukai taksiran

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berjaya mengutip hasil cukai sebanyak RM107.56 juta sepanjang tempoh promosi cukai taksiran yang berlangsung pada 1 Disember 2021 sehingga 28 Februari 2022.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata bahawa jumlah tersebut diperoleh melalui sejumlah 172,242 transaksi yang dijalankan sekali gus melayakkan mereka menyertai acara cabutan bertuah pada kali ini.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 77.43 peratus transaksi adalah dilakukan secara tanpa tunai.

“Oleh itu, MBSP ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada seluruh warga Seberang Perai yang telah menunaikan tanggungjawab membayar cukai taksiran pada masa yang ditetapkan,” kata beliau dalam ucapan semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta Ketua-ketua Jabatan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Menurut Azhar, sebanyak 40 hadiah disediakan termasuk wang tunai bagi mereka yang membayar cukai taksiran sepanjang tempoh promosi melalui kioks, agensi kutipan atau secara dalam talian.

“Daripada Analisa yang dibuat, sebanyak 57,379 akaun layak menyertai cabutan bertuah kali ini berdasarkan syarat-syarat ditetapkan dengan 6,982 akaun yang melakukan pembayaran melalui JOMPAY layak untuk cabutan berganda.

“Empat pemenang pertama masing-masing menerima RM10,00, RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 manakala tempat kelima hingga ke-10 akan menerima RM1,000 setiap seorang.

“Pemenang tempat ke-11 hingga 40 pula akan menerima pelbagai hadiah menarik termasuk telefon pintar, ketuhar gelombang mikro, televisyen, periuk elektrik, vakum dan banyak lagi.

“Semua pemenang yang berjaya akan dihubungi oleh MBSP melalui telefon, e-mel atau surat bagi tujuan tuntutan hadiah sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19,” jelasnya.

Sementara itu, Koay Saw Khim terpilih memenangi tempat pertama acara cabutan bertuah yang dengan membawa pulang wang tunai RM10,000.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Mohd. Yazid Gafar (RM5,000) diikuti tempat ketiga, Chon Huk Tit (RM3,000), tempat keempat milik Yeoh Li Li (RM2,000) dan tempat kelima Nurul Fatihiah Abdol Aziz (RM1,000)

Senarai nama kesemua 40 pemenang bertuah boleh disemak di laman web MBSP iaitu www.mbsp.my mulai Selasa (29 Mac 2022).

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS