MBSP catat 18 pencapaian sepanjang 2025, terus komited perkasa kesejahteraan komuniti

Admin
img 20260310 wa0067

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terus mencatatkan sebanyak 18 pencapaian membanggakan sepanjang tahun 2025, manakala enam lagi pencapaian berjaya diraih setakat tahun ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata kejayaan tersebut mencerminkan komitmen tinggi seluruh warga kerja MBSP dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat di Seberang Perai.

Menurut beliau, antara pencapaian penting ialah pengiktirafan MBSP sebagai ahli Global Network for Age-Friendly Cities and Communities oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi melaksanakan inisiatif Age-Friendly Cities and Communities (AFC) Seberang Perai pada 1 Disember 2025.

“Rangka kerja Age-Friendly City ini dibangunkan oleh WHO dengan mengambil kira keperluan dan keutamaan khusus golongan warga emas.

“Inisiatif ini menyediakan persekitaran yang selamat dan inklusif kepada semua kumpulan umur, khususnya warga emas,” katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Korporat Bandaraya Bil. 1/2026 dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.

dsc08734dsc08700dsc08709dsc08713

Baderul Amin menjelaskan bahawa pelaksanaan AFC Seberang Perai (AFCSP) akan dilaksanakan oleh MBSP bermula November 2025 hingga 2028 dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif tersebut dijangka dapat meningkatkan tahap kebolehdiaman (liveability) serta kesejahteraan warga emas di Seberang Perai, di samping memupuk hubungan antara generasi dan membina komuniti yang lebih inklusif bagi semua peringkat umur.

Dalam perkembangan berkaitan, MBSP turut menerima penarafan BAIK atau empat bintang hasil daripada Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan 2025 yang dilaksanakan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) pada 18 hingga 19 Jun 2025 di MBSP.

“Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga kerja MBSP atas komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang proses pengauditan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Baderul Amin berkata MBSP juga telah meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi Kumpulan Wang Pinjaman Kenderaan untuk kakitangan MBSP tertakluk kepada syarat Pekeliling Perbendaharaan (WP 9.2/2013 dan WP 9.3/2013).

Peruntukan tambahan tersebut adalah bagi pinjaman pembelian kereta kepada kakitangan MBSP, dengan had kelayakan pinjaman sebanyak RM65,000 bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta RM55,000 bagi Kumpulan Pelaksana, berkuat kuasa 1 April 2026.

Dalam pada itu, sebagai menghargai komitmen dan kerja keras Ahli Majlis serta kakitangan sepanjang tahun lalu, MBSP turut memberikan Insentif Kecemerlangan Prestasi 2025 pada kadar 0.25 bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada yang layak.

Pembayaran insentif tersebut dijadualkan pada 13 dan 14 Mac 2026, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM4.01 juta.

Beliau berharap pemberian insentif tersebut dapat menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga kerja MBSP untuk terus bekerja dengan lebih gigih, cekap dan berintegriti dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Seberang Perai.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP