MBSP diiktiraf Ahli Rangkaian Global WHO bagi Bandar Mesra Usia

Admin
img 20260129 wa0061

SEBERANG JAYA — Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah diiktiraf sebagai Ahli Rangkaian Global World Health Organization (WHO) bagi Age-Friendly Cities and Communities (AFC) pada 1 Disember tahun lepas.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata pengiktirafan tersebut telah memperkukuh komitmen Seberang Perai ke arah pembangunan Bandar Mesra Usia atau Age-Friendly City (AFC).

“Bandar Mesra Usia merupakan satu rangka kerja yang dibangunkan oleh WHO dengan mengambil kira keperluan dan keutamaan golongan dewasa lebih tua, khususnya warga emas.

“Rangka kerja ini bertujuan menyediakan persekitaran yang selamat, inklusif dan menyokong kesejahteraan semua kumpulan umur dengan penekanan kepada penuaan aktif dan sihat.

“Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri mesra usia dengan menyediakan persekitaran yang menyokong keperluan warga emas.

“Dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 20 Ogos 2025 dan disahkan pada 27 Ogos 2025, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif Bandar Mesra Usia Seberang Perai atau Age-Friendly City Seberang Perai (AFCSP),” katanya dalam sidang media di Menara Bandaraya MBSP dekat sini sebentar tadi.

img 20260129 wa0047

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Mengulas lanjut, Baderul Amin berkata WHO telah menggariskan lapan domain utama yang saling berkaitan sebagai panduan pelaksanaan Bandar Mesra Usia yang merangkumi Ruang Awam dan Bangunan, Sistem Pengangkutan dan Sistem Perumahan.

“Selain itu, Penglibatan Sosial, Saling Menghormati dan Keterangkuman Gender, Penglibatan Sivik dan Peluang Pekerjaan, Komunikasi dan Informasi serta Sokongan Masyarakat dan Perkhidmatan Kesihatan turut tersenarai dalam domain yang digariskan.

“Kesemua domain ini menjadi asas kepada MBSP dalam mengenal pasti dan menangani halangan terhadap kesejahteraan warga emas,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan pelaksanaan AFCSP berjalan lancar, Jawatankuasa Pemandu AFCSP telah ditubuhkan dengan penglibatan jabatan-jabatan teknikal dalaman MBSP serta agensi luar berkaitan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Pelaksanaan inisiatif AFCSP akan dilaksanakan oleh MBSP bermula November 2025 hingga tahun 2028 dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

“Program ini merangkumi tiga fasa pelaksanaan yang disusun secara berperingkat.

“Antara aktiviti utama yang dirancang ialah penganjuran empat Kumpulan Tumpu Bincang bagi mendapatkan pandangan dan input komuniti Seberang Perai.

“Maklum balas ini akan digunakan untuk menjalankan penilaian keperluan serta merangka Pelan Tindakan Strategik AFCSP yang dijadualkan pada tahun 2026.

“MBSP menjangkakan pelaksanaan inisiatif Bandar Mesra Usia di Seberang Perai akan meningkatkan tahap kebolehdidiami dan kesejahteraan warga emas.

“Di samping itu, inisiatif ini juga bakal memupuk hubungan antara generasi serta membentuk komuniti yang lebih inklusif dan harmoni untuk penduduk daripada semua peringkat umur,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP