MBSP dominasi Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2022

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendominasi Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2022 yang berlangsung pada 8 Disember lalu apabila berjaya meraih enam anugerah daripada 15 inovasi yang disertai.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata, selain enam anugerah tersebut MBSP juga terpilih sebagai pemenang Anugerah Khas bagi Anugerah Inovasi Ketua Menteri pada tahun ini melalui projek Lingkaran Bourgainvella.

“Malah, projek ini (Lingkaran Bourgainvella) juga berjaya meraih tempat pertama bagi anugerah inovasi Kategori Bukan ICT,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.

Tambah Azhar, MBSP turut berjaya merangkul tempat pertama bagi anugerah inovasi Kategori ICT melalui Inovasi Aspire Seberang Perai.

“Selain itu, kita juga berjaya mendapat tempat kedua masing-masing bagi Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) melalui projek SISKEN dan Kategori ICT melalui projek Sistem Pengurusan Lesen Interaktif dan Bersepadu (SPEEDBiz).

“MBSP juga telah diumum sebagai pemenang tempat ketiga bagi Anugerah Innovation Blast Teknikal melalui Inovasi Visible Parking dan Inovasi Sistem E-Clocking BKK juga bagi Kategori ICT,” katanya sambil mengucapkan syabas kepada semua pasukan kerja inovasi MBSP.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menganjurkan Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang dan Hari Bertemu Pelanggan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dekat Komtar.

Majlis tersebut adalah untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada semua pemenang Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif, Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Pertandingan Innovation Blast Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata MBSP dengan tegas melarang sebarang aktiviti pemotongan pokok yang melebihi lilitan 0.8 meter (m) tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan itu.

“MBSP mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati memotong pokok tanpa kebenaran,” katanya.

Azhar berkata, Mahkamah Munisipal Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah pada 27 Oktober lalu telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap sebuah syarikat manakala 16 individu dikenakan denda antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap pesalah.

“Perkara ini hendaklah menjadi pengajaran kepada seluruh penduduk Seberang Perai agar tidak memotong pokok sesuka hati tanpa kebenaran MBSP,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD