MBSP gerakkan pasukan kedua bantu mangsa banjir Selangor dan Pahang

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menggerakkan pasukan kedua yang terdiri daripada 48 anggota dan 12 kenderaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri Selangor dan Pahang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dengan diiringi oleh Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud telah menyempurnakan majlis pelepasan yang diadakan secara dekat Lobi Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.

Semasa berucap, Kon Yeow menyatakan bahawa bantuan yang dihantar ke Selangor dan Pahang adalah sebagai tanda setia kawan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kedua-dua negeri berkenaan yang sedang berdepan cabaran besar ketika ini.

Ketua Menteri diiringi Sr. Rozali Mohamud melepaskan pasukan kedua MBSP untuk melaksanakan misi bantuan pasca banjir ke Selangor dan Pahang pagi ini.

“Adalah penting untuk kita sampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana banjir bagi membantu mereka pulih secepat mungkin.

“Oleh itu, pada pagi ini, MBSP menghantar pasukan kedua yang terdiri daripada ‘Wira Oren’ untuk menyambung kerja-kerja dekat lapangan terutamanya di Bentong dan Karak (Pahang) serta Kajang (Selangor) bagi menggantikan pasukan pertama yang akan pulang hari ini selepas menyelesaikan misi bantuan pasca banjir sejak dua minggu lalu.

“Saya percaya cabaran di hadapan ‘Wira Oren’ adalah besar, dan saya berharap agar dalam tempoh seminggu ini mereka dapat membantu mangsa-mangsa banjir di lapangan khususnya daripada segi kerja-kerja pembersihan.

‘Wira Oren’ MBSP yang terlibat dalam misi bantuan banjir.

“Terima kasih diucapkan kepada pasukan MBSP terutamanya ‘Wira Oren’ daripada pasukan pertama yang telah menjalankan tugas membantu mangsa banjir di Selangor yang akan pulang hari ini,” ulasnya.

Turut serta, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai MBSP.

Ketua Menteri ketika menyampaikan ucapan ringkas sebelum melepaskan peserta konvoi bagi membantu mangsa banjir.

Dalam pada itu, Rozali memberitahu bahawa pasukan kedua MBSP akan membantu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta Majlis Perbandaran Bentong (MPB) bermula hari ini sehingga 6 Januari 2022.

“Saya berbangga kerana pasukan ‘Wira Oren’ yang berpengalaman berdepan banjir besar yang berlaku di negeri ini pada 2017 sanggup ke negeri-negeri lain untuk membatu sesama manusia,” ujarnya.

Difahamkan, jentera dan aset MBSP yang digerakkan hari ini adalah dengan kekuatan seramai seorang Ketua Penolong Pegawai Kanan; Pembantu Penguatkuasa (1) dan ‘Wira Oren’ (46).

Selain itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV), sebuah trak 4×4; dua buah van; sebuah trak pelbagai guns (MPV) 4×4; sebuah tailift; dua tipper truck; dua grabber crane serta dua buah trak RoRo turut digerakkan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING