MBSP laksana penjenamaan semula pasukan penguatkuasaan

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melaksanakan 11 penjenamaan semula membabitkan pasukan penguatkuasaan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pelaksanaan pembaharuan itu bertujuan menyuntik semangat baru agar pasukan penguatkuasaan terus gagah mengharungi saat-saat getir yang akan dilalui pada masa-masa akan datang.

Beliau berkata, kini MBSP mempunyai kekuatan aset dari segi tenaga kerja pegawai dan penguatkuasa adalah seramai 235 orang yang merangkumi Direktori Penguatkuasaan, Jabatan Perbendaharaan, bahagian Keselamatan dan Komuniti serta Jabatan Pelesenan.

Anggota Penguatkuasaan MBSP mengadakan perbarisan pada Sambutan Hari Pasukan Beruniform semalam.

“Antara pembaharuan yang dilaksanakan adalah melibatkan penggabungan penguatkuasaan di bawah pegawai Pesuruhjaya Penguatkuasaan iaitu Datuk Bandar.

“Selain itu, MBSP juga akan meningkatkan keupayaan pengawasan harta Majlis yang bertebaran di seluruh Seberang Perai selain mengawasi ketipan tunai pada hari-hari biasa dan semasa puncak.

“Malah, MBSP juga akan memastikan keberadaan Warden Lalulintas di lokasi-lokasi strategik terutamanya di kawasan titik utama di Seberang Perai agar meraka dapat memberikan laporan dan mengawal lalu lintas bagi kemudahan penduduk,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Hari Pasukan Beruniform MBSP dekat Menara Bandaraya di sini pada 28 November 2021.

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis bagi MBSP; pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan MBSP.

Tambah Rozali, MBSP juga bakal menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan kenderaan pengangkut sampah mempunyai permit pelupusan sebagai langkah membasmi pembuangan sampah haram.

“MBSP juga akan meningkatkan keupayaan rondaan, kawalan pemeriksaan di kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di samping menjalankan program pendidikan kepada pegawai penguatkuasa.

Rozali Mohamud menerima tabik hormat kawalan hormat daripada pasukan penguatkuasaan MBSP.

“Kita juga ingin menonjolkan pakaian uniform baru yang akan dipakai oleh oleh Diroktorat Penguatkuasaan MBSP dengan warna seragam bagi membezakan identiti penguatkuasaan yang ada di negara ini,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa permohonan MBSP untuk menambah 300 anggota polis bantuan telah mendapat kelulusan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Langkah ini akan memberi gandingan yang mantap kepada PDRM bagi mencapai keselamatan pelabur dan penduduk Seberang Perai.

“Pada masa hadapan, MBSP mempertimbangkan untuk memberi pegawai penguatkuasaan kuasa untuk membawa kes pendakwaan ke mahkamah,” jelasnya lanjut.

Justeru, Rozali berharap agar Sambutan Hari Pasukan Beruniform yang julung kalinya diadakan pada tahun ini bakal menjadi acara tahunan sebagai tanda pengiktirafan MBSP terhadap peranan dan sumbangan anggota pasukan beruniform.

“Pada masa pendemik, pasukan penguatkuasa bersama-sama wira barisan hadapan MBSP telah melakukan 1,201,523 pemeriksaan sejak man 2020.

“Mereka telah bekerja melebihi kapasiti tugas harian selain berdepan risiko jangkitan COVID-19 sehingga ada yang meninggal dunia,” katanya lagi.

Pada majlis itu juga, Rozali turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada pegawai dan anggota penguatkuasaan yang menunjukkan prestasi serta perkhidmatan cemerlang dalam melaksanakan penguatkuasaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBSP