SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap pemilik premis yang mempunyai tunggakan cukai taksiran bermula 27 April 2026.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, tindakan tersebut melibatkan premis yang masih belum menjelaskan bayaran cukai taksiran bagi Penggal Pertama 2026.
“Pemilik premis disaran untuk membuat bayaran segera bagi mengelakkan tindakan tegas termasuk sitaan harta alih serta proses undang-undang.
“Sehubungan itu, MBSP tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana hasil cukai taksiran merupakan sumber penting untuk penyelenggaraan kemudahan awam serta perkhidmatan bandar,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-622 Bil. 4/2026 dekat Menara Bandaraya MBSP dekat sini pada 21 April 2026.
Dalam pada itu, Baderul Amin turut memaklumkan bahawa pelbagai saluran bayaran disediakan bagi memudahkan orang ramai, termasuk aplikasi secara dalam talian.
“Sebagai makluman, orang ramai boleh membuat pembayaran melalui aplikasi ASPIRE Seberang Perai, PBTPay dan MBSPPay, selain pembayaran di kiosk serta kaunter rasmi MBSP di Menara Bandaraya Bandar Perda, Kampung Jawa dan Jawi.
“Di samping itu, orang ramai juga digalakkan untuk menyimpan resit atau bukti pembayaran sebagai rujukan, selain memastikan maklumat akaun dikemas kini bagi mengelakkan sebarang kesulitan dalam urusan semakan pada masa hadapan,” tambahnya.
Sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan bandar, MBSP turut mengumumkan pelaksanaan standard Tandas Awam Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) sebagai salah satu syarat dalam permohonan baharu serta pembaharuan lesen perniagaan bermula 1 Mei 2026.
“Inisiatif tersebut diperkenalkan bagi memastikan tahap kebersihan tandas awam di premis perniagaan sentiasa berada pada tahap tinggi, di samping meningkatkan imej bandar dan keselesaan pengguna.
“Oleh itu, semua premis perniagaan yang menyediakan kemudahan tandas diwajibkan mencapai sekurang-kurangnya penarafan empat bintang di bawah standard BMW,” jelasnya.
Pada kesempatan sama, Baderul Amin turut menegaskan bahawa sebarang ketidakpatuhan boleh dikenakan tindakan lanjut termasuk notis, kompaun serta menjejaskan status lesen perniagaan.
“Premis makanan yang mempunyai tandas juga perlu melaksanakan penarafan kendiri melalui Sistem Speedbiz, manakala pihak MBSP akan menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan.
“Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan persekitaran bandar yang bersih, selesa dan berkualiti tinggi untuk semua,” katanya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS