SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan Pelan Induk Landskap dalam usaha membentuk persekitaran bandar yang seimbang antara pembangunan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata pelan induk berkenaan merupakan dokumen strategik jangka panjang yang dirangka bagi menyediakan kerangka perancangan, pembangunan serta pengurusan landskap bandar secara menyeluruh, sistematik dan mampan.
“Pelan ini berfungsi sebagai dokumen rujukan utama kepada semua pihak berkepentingan bagi memastikan elemen landskap diintegrasikan secara holistik dalam pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar di Seberang Perai.
“Malah, Pelan Induk Landskap juga adalah selaras dengan Agenda Hijau MBSP, hala tuju Corporate Priorities MBSP serta komitmen pihak Majlis terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Landskap MBSP dekat Menaraya Bandaraya MBSP dekat sini pada 18 Disember 2025.


Baderul Amin berkata, pelaksanaan Pelan Induk Landskap meliputi keseluruhan kawasan pentadbiran MBSP merangkumi kawasan bandar sedia ada, pembangunan baharu, taman bandar, ruang hijau awam, koridor sungai, kawasan rekreasi serta zon perumahan, komersial dan perindustrian.
Menurutnya, pendekatan berasaskan wilayah itu amat penting bagi memastikan kesinambungan landskap dan rangkaian ekologi bandar dapat diwujudkan secara bersepadu dan berdaya tahan.
“Pelan ini dirangka untuk tempoh 10 tahun yang mana pelaksanaannya adalah secara berfasa selaras dengan keupayaan kewangan, keutamaan pembangunan bandar serta keperluan semasa dan masa hadapan.
“Mekanisme semakan berkala turut akan dilaksanakan bagi memastikan pelan ini kekal relevan, praktikal dan berimpak tinggi,” jelasnya.
Memgulas lanjut, Baderul Amin berkata Pelan Induk Landskap juga diwujudkan sebagai respons terhadap cabaran pembangunan bandar masa kini, termasuk isu-isu alam sekitar, perubahan iklim, kehilangan biodiversiti serta keperluan terhadap penyediaan ruang hijau berkualiti.
“Melalui pelaksanaan pelan ini, MBSP berhasrat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selesa, sihat dan berdaya huni.
“Pada masa sama, pelan ini turut memperkukuh daya tahan bandar terhadap impak perubahan iklim dan menyokong aspirasi menjadikan Seberang Perai sebagai sebuah bandar raya rendah karbon, mesra alam dan mampan, selaras dengan SDG 11, SDG 13 dan SDG 15.
“Justeru, pelaksanaan Pelan Induk Landskap ini memerlukan komitmen dan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak,” katanya.
Tambah Baderul Amin, MBSP melalui Jabatan Landskap akan menerajui pelaksanaan pelan induk tersebut melalui sokongan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pihak pemaju, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi profesional serta komuniti setempat.
“Pendekatan kolaboratif ini adalah kunci kepada kejayaan pelaksanaan dan pemilikan bersama oleh semua pihak.
“Pelan ini akan dilaksanakan melalui pendekatan bersepadu yang merangkumi penggubalan dasar dan garis panduan teknikal landskap, penyelarasan dengan perancangan pembangunan fizikal, pelaksanaan projek landskap strategik, penglibatan pihak berkepentingan serta pemantauan dan penilaian berterusan.
“Di samping itu, MBSP turut menggalakkan penggunaan teknologi hijau, inovasi serta amalan terbaik landskap mampan bagi menyokong ekonomi hijau dan penciptaan peluang pekerjaan dalam sektor landskap dan penyelenggaraan bandar.
“Oleh itu, saya yakin dan percaya bahawa Pelan Induk Landskap MBSP ini akan menjadi pemacu penting dalam membentuk wajah Seberang Perai sebagai sebuah bandar raya lebih hijau, berdaya tahan dan berorientasikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP