MBSP lancar SPCP 2024, fokus capai 10 keutamaan strategik

spcp 2024

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan Seberang Perai Corporate Priorities 2024 (SPCP 2024) yang mengandungi 10 keutamaan strategik sebagai sasaran utama untuk dicapai pada tahun ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arsyad berkata SPCP 2024 merupakan satu dokumen tahunan yang diadaptasi daripada Pelan Strategi 2023-2030 dan merupakan kesinambungan bagi SPCP 2023.

Katanya, SPCP 2024 dilengkapi dengan maklumat program, indeks prestasi utama (KPI), aktiviti serta hasil daripada setiap program yang telah dirangka untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2024.

whatsapp image 2024 01 23 at 15.03.06
Azhar Arshad menunjukkan dokumen Seberang Perai Corporate Priorities 2024 yang dilancarkan oleh MBSP.

“Pembentukan SPCP 2024 merupakan satu perancangan atau komitmen MBSP kepada semua pemegang taru dalam menjayakan Visi dan Misi MBSP.

“Dokumen induk ini dijadikan sebagai pandu arah kepada warga kerja MBSP dan warga Seberang Perai untuk mencapai hasrat bersama.

“Malah, dokumen ini juga dapat dijadikan sebagai panduan dan perancangan kerja komprehensif untuk menjadikan MBSP sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terbuka, interaktif, cekap serta mendapat sokongan masyarakat,” katanya semasa Majlis Pelancaran SPCP 2024 dekat Menara Bandaraya MBSp di sini pada 23 Januari 2024.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis bagi MBSP, Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Mengulas lanjut, Azhar berkata SPCP 2024 mengandungi 86 program dan 108 aktiviti yang disusun mengikut 10 keutamaan strategik termasuk persekitaran yang selamat, kemudahan dan infrastruktur yang berkualiti serta gaya hidup sihat.

Tambahnya, ia turut merangkumi pembangunan hijau dan persekitaran bersih, penerapan teknologi baru, ekonomi bandar yang berdaya saing, memperkukuhkan budaya dan warisan, bandar berdaya tahan dan berdaya huni, keterlibatan komuniti serta pembangunan bandar yang inklusif dan saksama.

“MBSP meletakkan 10 keutamaan strategik iaitu tambahan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hotspot bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, projek naik taraf Taman Pantai, dan pelaksanaan Pelan Tindakan Gagak (PETEGAK).

“MBSP juga akan mewujudkan inisiatif untuk mencapai 300 tan sisa organik disalurkan kepada teknologi baru rawatan sisa pepejal, menjadikan Pulau Burung sebuah tapak pelupusan yang mempunyai teknologi Waste to Energy dan pelaksanaan modul Sistem Penguatkuasaan Bersepadu.

“Pembangunan Sistem Pengurusan Kawasan Perindustrian Bebas (FIZ), pelaksanaan Program SPEED (Seberang Perai Express and Effective), penyediaan Garis Panduan Pemutihan Asrama Pekerja di Taman Nagasari dan menyediaan tujuh penempatan baru bagi Program Pemusatan Penjaja turut menjadi keutamaan strategik MBSP pada tahun 2024,” ujarnya.

Pada majlis sama, Azhar turut melancarkan Pelan Tindakan Pelancongan Seberang Perai sebagai hala tuju ke arah mempromosikan pelancongan Seberang Perai.

“Dengan adanya pelan ini, sektor pelancongan Seberang Perai akan dipertingkatkan dan diperkembangkan secara meluas dengan medium sebaran maklumat yang interaktif serta mampu menarik lebih ramai pelancong.

“Justeru, penglibatan pemegang taruh dan pemain industri pelancongan adalah diharapkan dapat membawa pelancongan Seberang Perai berada di tahap yang optimum serta efektif,” ujarnya.

Azhar berkata, tempoh pelaksanaan projek adalah selama 19 bulan yang dijangka bermula Mei 2024 sehingga November 2025, merangkumi penyenaraian inventori produk pelancongan Seberang Perai mengikut kategori.

“MBSP sangat mengalu-alukan kerjasama, pandangan, dan cadangan produk-produk pelancongan baru daripada semua pihak dengan mengimbas Kod QR yang telah disediakan.

“Pelaksanaan Inventori Produk dan Kajian Pelan Tindakan Pelancongan di Seberang Perai ini adalah seiring dengan hala tuju Penang 2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD