MBSP lulus 89 permohonan lanjut waktu operasi syarikat, industri ketika PKP 4

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini meluluskan 89 permohonan untuk melanjutkan waktu operasi syarikat-syarikat bagi tempoh pelaksanaan fasa empat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 4) yang dijadual bermula pada esok (29 April 2020).

Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pihaknya berharap syarikat-syarikat berkenaan dapat mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan, supaya tidak menjejaskan tujuan asal pelaksanaan PKP iaitu memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19.

Sehingga 26 April lepas, beliau memberitahu bahawa MBSP menerima 126 permohonan; 18 permohonan masih dalam proses; sementara baki lima lagi adalah berstatus tidak lengkap kerana tidak disertakan salinan surat kelulusan daripada MITI.

“Kita (MBSP) nak tahu berapa syif yang akan beroperasi pada waktu siang dan malam; berapa orang pekerja dalam satu-satu syif dan berapa jumlah keseluruhan pekerja yang dibenarkan bekerja (di kilang), mengikut kelulusan MITI.

“Dengan (kelulusan pada peringkat awal) ini, kita (Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri, JKKN dan MBSP) dapat menganggarkan pada satu-satu masa (seperti) syif 7 malam hingga 7 pagi atau (syif) 7 pagi hingga 7 malam, berapakah anggaran penduduk yang berada di satu-satu kawasan industri dekat Seberang Perai, (selain) anggaran kenderaan atas jalan raya ketika PKP ini,” jelasnya dalam sidang media menerusi Live Facebook pada 28 April 2020.

Tambah beliau, syarikat-syarikat yang telah mendapat kebenaran beroperasi daripada MITI, mesti mengemukakan surat kelulusan berwajib untuk mendapatkan kelulusan melanjutkan operasi industri mereka masing-masing.

“Sila klik ‘Permohonan Kebenaran Beroperasi Serta Pergerakan Pekerja Bagi Syarikat – Syarikat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Daripada MBSP’ pada portal rasmi MBSP (https://www.mbsp.gov.my/), ia akan terpapar SOP dan carta aliran.

“Dan, paling penting, adalah borang di Lampiran A, semua syarikat pembuatan mestilah mengisi borang ini…hantar borang ini bersama-sama surat iringan dan surat (kelulusan daripada) MITI; e-melkan kepada [email protected].

“Sehingga pagi tadi (28 April 2020), kita telah menerima 130 permohonan baharu…kita (MBSP) akan selesaikan ikut KPI (petunjuk prestasi utama) kita iaitu dalam tiga hari, walaupun kita berjaya selesaikan permohonan dalam sehari sahaja,” jelasnya.

Pun begitu, Rozali memberitahu bahawa kebenaran melanjutkan waktu operasi yang telah diberi akan dibatalkan serta-merta sekiranya syarikat-syarikat berkenaan tidak mematuhi semua SOP yang digariskan oleh MITI dan MBSP.

SR. Rozali Mohamud (tiga dari kiri) diiringi Ahli Majlis MBSP, Tan Chee Teong (paling kanan) serta dua wakil Syarikat Tah Wah Group dalam acara pelancaran Kempen Kebersihan Pembungkusan Makanan dan Norma Baru Pembelian Dalam Talian, menerusi sesi live Facebook pada tengah hari tadi.

Pada sidang media yang sama, Rozali turut melancarkan Kempen Kebersihan Pembungkusan Makanan dan Norma Baru Pembelian Dalam Talian.

“Kempen Kebersihan Pembungkusan Makanan ini adalah sumbangan Syarikat Tah Wah Group sebanyak 30,000 unit bekas makanan mesra alam kepada MBSP.

“Ciri-ciri keselamatan pada kotak (makanan) ini, satu, kotak ini bersih bungkusannya dan boleh dikitar semula.

“Kotak yang diisi dengan makanan akan ada akan diletakkan pelekat penutup (seal)…jika ‘seal’ ini tidak terbuka atau terjejas, maka makanan dalam kotak ini masih belum disentuh.

“Ini adalah jaminan keselamatan kepada pembeli yang membeli makan secara dalam talian.

“Selepas tempoh PKP ini, kita (MBSP) syorkan penduduk Seberang Perai boleh meneruskan urus niaga secara dalam talian… sebagai norma baru kita,” jelasnya lagi.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB