MBSP, MalaysiaGBC NC jalin kerjasama ke arah pembangunan mampan dan lestari

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Malaysia Green Building Council Northern Chapter (MalaysiaGBC NC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi merancakkan lagi pembangunan mampan di Seberang Perai.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata jalinan kerjasama tersebut menjadikan MBSP dan MalaysiaGBC NC sebagai rakan strategik untuk menasihati serta mempromosikan pembangunan hijau ke arah Seberang Perai bandar raya mampan dan lestari.

“Melalui kerjasama ini, MalaysiaGBC NC akan menasihati MBSP mengenai langkah-langkah untuk mewujudkan bangunan hijau termasuk memberi latihan berkaitan kepada kakitangan MBSP.

“Untuk makluman, MBSP sebelum ini telah merangka lima strategi bagi mencapai bandar raya rendah karbon menjelang 2022 iaitu pengangkutan hijau, bangunan hijau, infrastruktur hijau, penghasilan dan penggunaan mampan serta kehijauan dan penyerapan,” katanya pada majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak dekat Menara Bandaraya, di sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP, Setiausaha Bandaraya Ir. Rosnani Mahmod serta Pengerusi MalaysiaGBC NC, Baylon Tham Wai Leong.

Mengulas lanjut, Rozali menjelaskan bahawa dalam usaha pengurangkan penggunaan tenaga pihaknya bertindak memasang panel solar di bangunan-bangunan milik MBSP.

“Selain itu kita juga bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Projek Supply Agreement Renewable Energy (SARE) untuk memasang 204 panel solar di bangunan MBSP di Jalan Betek yang dijangka siap pada April atau Mei ini.

“Kebaikan program ini adalah MBSP tidak mengeluar apa-apa kos malahan kita membayar tarif dengan lebih rendah iaitu daripada 50 sen kepada 40 sen per kilowatt,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS