MBSP perkenal Scan, Park & Pay atasi kesesakan kaunter berpusat

Admin
பொதுமக்கள் பணமில்லா பரிவர்த்தனையை பயன்படுத்த ஊக்குவிக்கப்படுகின்றனர்.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini melancarkan kaedah pintar Scan, Park & Pay (imbas, parkir dan bayar) bagi mengurangkan kesesakan di kaunter berpusat.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud mmeberitahu bahawa aplikasi pintar tersebut akan digunakan ketika berlaku kesesakan di kaunter utama.

“Hari ini kita (MBSP) memperkenalkan satu opsyen baharu untuk membayar kompaun letak kereta, pembayaran cukai taksiran dan sewaan.

“Opsyen ini boleh dimanfaatkan semasa tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana kita mahu kurangkan jumlah pengunjung yang datang ke kaunter berpusat.

“Cuma perlu tiga langkah, iaitu imbas kod QR melalui telefon pintar, sistem akan bawa ke portal MBSP pay, seterusnya pengguna boleh pilih untuk membayar kompaun, cukai atau sewaan dengan mengikut arahan seterusnya,” ujar Rozali melalui sidang media live Facebook pagi tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye dan Setiausaha Bandaraya bagi MBSP, Ir. Rosnani Mahmod.


Melalui pelancaran tersebut, parkir khas turut akan disediakan oleh MBSP sambil dibantu oleh Pasukan Tanyalah Saya.

Terkini, MPSP turut menyediakan perkhidmatan kiosk serta pasukan kaunter siber yang akan membantu pengguna kurang mahir menggunakan sistem dalam talian.

Jagdeep dalam pada itu, menyambut baik pelancaran Scan, Park & Pay sebagai alternatif kepada pembayar cukai untuk mengurangkan kesesakan di kaunter berpusat.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak MBSP kerana sentiasa prihatin dan mengambil berat situasi semasa yang melanda rakyat dan warga negeri ini serta berusaha mempermudahkan urusan rakyat dengan MBSP.

“Pelaksanaan inisiatif-inisiatif pintar ini adalah suatu usaha berterusan MBSP dalam menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan transformasi Negeri Pulau Pinang ke arah sebuah Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa,” jelas Jagdeep.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep turut menyumbangkan 1,000 pek keperluan asas seperti beras, rempah, kordial, sardin dan lain-lain pada harga RM30.00 setiap pek kepada wira oren barisan hadapan MBSP.

Terdahulu, Jagdeep turut menyampaikan bantuan sama kepada wira kuning barisan hadapan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta pek makanan bernilai RM50 kepada 500 barisan hadapan pasukan polis.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR