MBSP pertingkat langkah cegah Covid-19

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjalankan operasi pemeriksaan suhu badan di dua pintu masuk Menara Bandaraya mulai hari ini sebagai langkah pencegahan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Operasi saringan berkenaan turut akan dijalankan di semua cawangan dan depoh MBSP pada hari Isnin hingga Jumaat mulai jam 7.00 pagi hingga 6.00 petang.

Semua pelanggan perlu menjalani saringan suhu badan sebelum berurusan di kaunter berpusat MBSP.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, tindakan tersebut adalah bagi memastikan keselamatan semua kakitangan dan pengunjung yang berurusan di premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Sebelum ke kaunter berpusat, pengunjung perlu menjalani pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu dan sekiranya suhu yang dicatatkan melebihi 37.5 mereka tidak dibenarkan melakukan apa-apa urusan di MBSP.

“Jika ada urusan penting, pelanggan diminta meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi oleh pihak MBSP bagi menyelesaikan urusan berkenaan melalui perbualan dalam telefon.

“Manakala urusan-urusan lain seperti pembayaran kompaun dan cukai taksiran mereka boleh melakukannya secara dalam talian.

“Bagi permohonan pembaharuan lesen pula pelanggan boleh menghantar wakil tetapi borang yang disertakan perlu ditandatangani oleh pemohon,” jelasnya pada sidang media dekat kaunter berpusat, Menara Bandaraya di sini, pagi ini.

Turut serta, Ahli-Ahli Majlis dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai MBSP.

Sr. Rozali Mohamud bersama Ahli-Ahli Majlis dan Setiausaha Bandaraya MBSP menunjukkan poster mengenai langkah pencegahan Covid-19 yang akan ditampal di tempat-tempat awam.

Mengulas lanjut, Rozali berkata, pihaknya turut meningkatkan langkah keselamatan bagi kakitangan MBSP yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan dengan menyediakan sarung tangan, pelitup muka serta pencuci tangan.

“Walau bagaimanapun, jika didapati ada kakitangan MBSP dikesan mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 mereka akan dihantar ke hospital sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau kenderaan disediakan khas oleh pihak Majlis.

“Sekiranya mereka menggunakan kenderaan yang disediakan oleh MBSP maka kenderaan itu akan dikuarantin selama 24 jam untuk kerja-kerja pembersihan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa semua program tempatan yang dirancang MBSP sebelum ini akan diteruskan tetapi dengan langkah pencegahan lebih ketat.

“Hanya program-program yang melibatkan penyertaan antarabangsa sahaja akan dibatalkan,” katanya.

Difahamkan, MBSP juga akan menampal poster berkaitan kempen pencegahan Covid-19 di tempat-tempat awam selain mengeluarkan notis kepada semua pengurusan pusat membeli-belah untuk meningkatkan kawalan keselamatan.

Ahli-Ahli Majlis mencuci tangan sebelum memasuki Menara Bandaraya MBSP.

Sehingga kini, MBSP telah mengeluarkan 4,546 notis melibatkan pasar raya, restoran, kedai serbaneka, stesen minyak, pusat penjaja, kompleks makanan serta perniagaan-perniagaan lain.

“Sebanyak 258 pihak berkaitan yang menerima notis telah mematuhi saranan MBSP.

“Justeru, kita minta lebih banyak premis terutamanya pasar raya besar untuk menyediakan pencuci tangan di lokasi umum seperti kaunter bayaran, pusat informasi atau khidmat pelanggan dan tandas,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBSP