MBSP sambut baik cadangan perkhidmatan teksi air diperluas ke Seberang Perai

Admin
img 8605

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyambut baik cadangan supaya perkhidmatan teksi air atau ‘water taxi’ diperluaskan ke kawasan Seberang Perai.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arsyad berkata, inisiatif tersebut dilihat akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancong di negeri Pulau Pinang khususnya di kawasan Seberang Perai.

“MBSP menyambut baik bagi cadangan memperluaskan perkhidmatan teksi air ke Seberang Perai sebagai salah satu tarikan pelancong ke Negeri Pulau Pinang.

img 1372
Azhar Arshad.

“Walau bagaimanapun, pada masa kini pihak MBSP tiada cadangan khusus bagi melaksanakan inisiatif tersebut dan satu kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi pagi tadi.

Sebelum ini, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata bahawa perkhidmatan teksi air merupakan mod pengangkutan awam baharu yang boleh digunakan oleh orang awam di Pulau Pinang.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut juga antara yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.

Sementara itu, pada 30 Mac lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata perkhidmatan teksi air akan diperluaskan ke kawasan Seberang Perai sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Namun menurut beliau, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat oleh MBSP memandangkan usaha mewujudkan perkhidmatan teksi air kini dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya Kerajaan Negeri.

“Perkhidmatan teksi air ini masih pada peringkat permulaan dan kita tidak tahu sama ada ia akan berjaya atau tidak, sebelum boleh diperluaskan pada masa akan datang.

“Jika dibuktikan mendapat sambutan daripada orang ramai, maka perkhidmatan ini boleh diperluaskan kelak,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS