MBSP sedia semua 134 perkhidmatan melalui siber kaunter mulai 13 Mei ini – Datuk Bandar

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang merangka norma baharu dalam pelaksanaan tugas harian dengan menyediakan kesemua 134 perkhidmatan kaunter berpusat melalui siber kaunter.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr. Rozali Mohamud berkata, perkhidmatan yang disediakan secara dalam siber kaunter melibatkan 49 perkhidmatan bayaran bil dan 85 lagi perkhidmatan selain bayaran bil.

“Sebelum ini, MBSP hanya menyediakan 11 perkhidmatan melalui siber kaunter tetapi mulai 13 Mei ini kita akan laksanakan kesemua 134 perkhidmatan yang disediakan di kaunter berpusat melalui siber kaunter.

Antara perkhidmatan yang disediakan melalui siber kaunter mulai 13 Mei ini.

“Ini adalah normal baru yang mana penduduk Seberang Perai tidak lagi perlu datang ke kaunter sebaliknya hanya perlu berurusan dengan MBSP secara atas talian.

“Oleh itu, walaupun kaunter berpusat mula beroperasi pada 13 Mei ini tetapi saluran yang disediakan pada tahap minimum sama ada daripada segi bilangan kakitangan atau saluran iaitu hanya satu atau dua saluran sahaja akan dibuka.

“Saya beri jaminan bahawa selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkhidmatan-perkhidmatan MBSP akan meminimumkan ‘red tape’ demi kebaikan semua penduduk Seberang Perai,” katanya pada sidang media dan sesi soal jawab berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menerusi Live Facebook MBSP dekat Ruang Media, Menara Bandaraya, di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Rozali memberitahu bahawa hasil pemantauan daripada anggota-anggota penguatkuasa MBSP di pasar-pasar awam di Seberang Perai mendapati pematuhan terhadap PKP masih lagi mencapai tahap yang tinggi.

“Tahniah diucapkan kepada seluruh warga Seberang Perai kerana masih mematuhi arahan PKP walaupun ramai yang menyatakan bahawa mereka keliru terhadap keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan PKPB secara berhemah dan lebih sistematik melalui strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang mulai 8 Mei ini dengan syarat pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Maklumat lanjut sila layari laman web mbsp.gov.my/cyber-counter/.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF