MBSP sediakan portal e-dagang bantu peniaga bazar Ramadan teruskan perniagaan

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bakal melancarkan Portal eBazar Ramadan pada 16 April ini bagi membantu peniaga-peniaga bazar Ramadan untuk menjalankan perniagaan mereka secara dalam talian.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, portal tersebut menjadi salah satu pilihan kepada peniaga untuk terus menjalankan perniagaan selepas Kerajaan Negeri mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri ekoran pandemik COVID-19.

Beliau berkata, portal e-dagang MBSP berbeza daripada portal dalam talian Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) iaitu Jom Beli Online atau JBO@MBPP yang dilancarkan baru-baru ini.

Jagdeep Singh Deo bersama-sama Ar. Yew Tung Seang dan Ir. Addnan Mohd. Razali turut serta dalam sidang media yang diadakan secara langsung menerusi Facebook dekat Komtar.

“Melalui portal eBazar Ramadan ini kita akan mewujudkan eKatalog kerana berdasarkan kaji selidik pasaran yang kita dijalankan mendapati sudah ada ratusan portal telah beroperasi di pasaran.

“Oleh itu, perkhidmatan eKatalog yang diwujudkan oleh MBSP akan mengumpulkan laman web, Facebook dan WhatsApp di seluruh Seberang Perai yang menyediakan produk makanan atau bukan makanan seperti pakaian, kasut, barangan runcit serta keperluan hari raya yang lain.

“Apa yang dipaparkan adalah pembeli hanya perlu memilih platform kegemaran mereka sama ada lawan web, Facebook atau WhatsApp untuk memesan produk yang diingini dan peniaga akan mengaturkan khidmat penghantaran pesanan.

“Justeru, diharapkan Portal eBazar Ramadan akan memberi manfaat kepada peniaga-peniaga lain yang berniaga di premis atau kompleks makanan sedia ada supaya menepati konsep ‘no one should be left behind’ yang menjadi prinsip panduan MBSP dalam semua urusan,” katanya pada pada sidang media secara langsung menerusi Facebook dekat Komtar pagi ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali turut serta dalam sidang media tersebut.

Difahamkan, inisiatif berkenaan bakal memberi manfaat kepada 42 pengusaha bazar Ramadan serta 3,207 penjaja untuk meneruskan hasrat untuk berniaga di bulan Ramadan.

Sementara itu, Yew Tung Seang memaklumkan bahawa pihaknya turut menawarkan platform JBO@MBPP kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan ekoran sambutan baik yang diterima setakat ini.

Ar. Yew Tung Seang.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada 7 April lalu, seramai 112 peniaga telah mendaftar untuk menyertai platform e-dagang berkenaan.

“Melalui JBO@MBPP ini, peniagaan akan memperoleh bayaran daripada hasil jualan dalam tempoh tiga hari dari tarikh urus niaga.

“Pada masa sama, kita juga akan mengguna pakai kaedah pelekat keselamatan pada semua bungkusan makanan yang mana sekiranya didapati pelekat itu terkoyak maka pelanggan boleh untuk tidak terima bungkusan tersebut,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata bahawa inisiatif yang diperkenalkan oleh MBPP dan MBSP itu adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi sebuah negeri pintar.

“Kita akan cuba sedaya upaya membantu peniaga sekiranya bazar-bazar Ramadan tidak dapat diadakan kerana pandemik yang berlaku dan kita perlu berikan keutamaan kepada keselamatan awam dan keselamatan kesihatan,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN