MBSP selangkah kedepan lagi, anjur inisiatif ‘upcycle’ perca kain – Datuk Bandar

Admin
SR. Rozali Mohamud (berkopiah putih) diiringi Ir. Rosnani Mahmod (depan, dua dari kanan) merakamkan gambar dengan barisan pemegang taruh lain sempena acara pelancaran Majlis Penyerahan Perca Kain Oleh South Island Garment Sdn. Bhd. di Menara Bandaraya MBSP dekat Bandar Perda pada 27 Jun 2020.


SEBERANG JAYA – Perca kain yang disumbangkan oleh industri South Island Garment Sdn. Bhd. akan dikitar semula serta dijahit menjadi barangan ‘upcycle’ yang mempunyai nilai guna baharu seperti beg tangan dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa projek terbaru tersebut akan meletakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan selangkah kedepan lagi dalam usaha menjadikan Seberang Perai sebagai Bandar Raya Rendah Karbon pada tahun 2022; Bandar Raya Neutral Karbon pada tahun 2030, iaitu 10 tahun dari Januari 2020; dan Bandar Raya Sifar Karbon pada tahun 2050. 

“Untuk merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi tumpuan pada kitaran ekonomi iaitu kita (penduduk Seberang Perai) mengurangkan penjanaan sisa sampah dan bahan-bahan buangan lain, serta memperbanyak penggunaan semula sumber-sumber sedia ada (seperti inisiatif ‘upcycle’ daripada perca kain) untuk digunakan semula dalam aktiviti ekonomi rakyat. 

“Selepas kita berjaya mewujudkan Upcycle Park MBSP iaitu taman kongsi ‘upcycle’ pertama negara; kemudian diperluas lagi pada program ‘Kampung Upcycle’, jadi, pada pagi ini, kita (MBSP) melangkah selangkah lagi ke hadapan,” ujarnya dalam Majlis Penyerahan Perca Kain Oleh South Island Garment Sdn. Bhd. di Menara Bandaraya MBSP dekat Bandar Perda pada 27 Jun 2020.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod, barisan Ahli Majlis dan Pengurus Besar South Island Garment Sdn. Bhd., Lim Eng Chuan. 

Menurut Rozali, sejak tahun 2016 lagi South Island Garment Sdn. Bhd. merupakan antara ‘rakan strategik’ MBSP dalam kerja-kerja memelihara dan memulihara alam sekitar di kawasan pentadbiran Seberang Perai. 

“Mereka (South Island Garment Sdn. Bhd.) mula melibatkan diri dalam usaha rawatan air sungai menggunakan bebola tanah (RM Mudballs), aktiviti kitar semula dan menyertai program sisa sifar dengan mengumpul sisa makanan untuk dihantar ke Pasar Bagan Ajam untuk tujuan pengkomposan. 

“South Island Garment Sdn. Bhd. juga terlibat dalam penganjuran dan penajaan Pertandingan Halaman Rumah Bersih dan Indah di Permatang Nibong,” jelasnya lagi. 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : J. PATMAVATHY