MBSP sisih prosedur lapuk demi tingkat kualiti hidup rakyat – Datuk Bandar

மாநில முதல்வர் ஊராட்சி அதிகாரிகளின் அணிவகுப்பை பார்வையிட்டார்.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan menyisihkan prosedur pengurusan lapuk dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan demi meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk di kawasan pentadbiran Seberang Perai.

Datuk Bandarnya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud pada pagi tadi melafazkan ikrar tersebut sempena ulang tahun pertama Majlis Sambutan Hari Bandaraya MBSP 2020 dengan disaksikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Turut serta di majlis yang berlangsung dekat ruang legar Menara Bandaraya MBSP di sini ialah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

(Dari kiri) JAGDEEP Singh Deo, Ketua Menteri, Sr. Rozali Mohamud dan Ir. Rosnani Mahmood (Setiausaha Bandaraya MBPP) ketika acara pelancaran dokumen Pelan Perjalanan Pembangunan Ekonomi Sekular MBPP di sini tadi.

“Sepanjang setahun diiktiraf sebagai bandar raya, bermula 16 September 2019 hingga 19 September 2020, MBSP telah menjalankan ‘Business Process Reengineering’ bagi menyisih prosedur yang lapuk, memendekkan proses kerja untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, merancakkan ekonomi bandar (serta) meningkatkan kualiti kehidupan penduduk Seberang Perai,” jelasnya disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Menurut Rozali, pandemik COVID-19 yang dihadapi penduduk negeri baru-baru ini telah begitu banyak mengubah tabiat pengurusan organisasi MBSP.

Antaranya, menurut beliau, proses kelulusan dan mengeluarkan lesen serta-merta kepada kepada pihak yang mengemukakan dokumen lengkap untuk permohonan lesen premis dan iklan (tidak berisiko).

“Selain itu, MBSP telah mengenal pasti 25 lokasi penjajaan baharu tepi jalan untuk manfaat lebih 1,000 peniaga terutama daripada keluarga berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

“(Sebelum COVID-19,) 826 lesen penjaja telah dikeluarkan (namun) semasa pandemik COVID-19 iaitu semenjak 18 Mac 2020 (menyaksikan) peningkatan 54.97 peratus dari tahun 2019 yang mana 533 lesen penjaja telah dikeluarkan,” ujarnya.

KETUA Menteri

Selepas itu, Kon Yeow ketika merasmikan acara sambutan tersebut antara lain memuji usaha-usaha pentadbiran Rozali dalam meningkatkan mutu pengurusan MBSP.

“Seiringan dengan aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri yakin bahawa pelan-pelan strategik yang telah dilancarkan sebagai agenda untuk mentransformasikan Seberang Perai sebagai Bandaraya Rendah Karbon serta Bandaraya Pintar berada di landasan yang tepat dan memberi momentum dengan meninggalkan impak baik serta berkualiti kepada rakyat di sini (Seberang Perai) secara khususnya,” ulasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow diiringi Jagdeep dan Rozali turut melancarkan dokumen Pelan Perjalanan Pembangunan Ekonomi Sirkular iaitu kerangka dasar tindakan MBSP dalam bidang pengurusan sisa pepejal bagi tempoh sedekad sehingga tahun 2030.

Bercakap kepada pemberita, Rozali memberitahu bahawa ‘Seberang Perai Circular Economy Roadmap’ yang dilancarkan akan melibatkan tiga sektor strategik iaitu penduduk terutama B40; industri berkaitan teknologi dan bahagian penyelidikan universiti.

“Apabila berlaku pandemik COVID-19, ekonomi rakyat perlu dipulihkan kembali, oleh itu, ‘roadmap’ ini disegerakan dalam bulan September ini juga.

“Ekonomi sirkular bakal menjadi penyumbang kepada pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) ekonomi Pulau Pinang kerana ia tidak mudah terkesan kepada ancaman ekonomi (semasa COVID-19) selain berbentuk pertanian dan penyediaan makanan.

“Sektor makanan serta sektor pertanian tidak mudah terkesan oleh ancaman ekonomi yang lain, dan sebab itu, kita (MBSP) menghala kepada ekonomi mampan dengan menjadikan ekonomi sirkular sebagai penyumbang ekonomi mampan,” jelasnya.

Acara demontrasi aksi mempertahan diri oleh pasukan elit pasukan keselamatan baharu MBSP yang dikenali sebagai ‘T-Baton’.

Pada majlis berkenaan, sambutan Hari Majlis Bandaraya MBPP 2020 dimulakan dengan acara pemeriksaan perbarisan melibatkan 50 anggota Direktorat Penguatkuasaan MBPP.

Serentak itu, hadirin turut menyaksikan demontrasi pasukan elit keselamatan baharu MBPP dikenali sebagai ‘T-Baton’.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING