MBSP tawar hadiah cabutan bertuah sehingga RM10,000 kepada pembayar cukai taksiran 2021

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menawarkan wang tunai sehingga RM10,000 kepada pemenang cabutan bertuah sempena promosi cukai taksiran tahun 2021.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa promosi tersebut adalah khusus untuk pembayaran melalui kiosk atau secara dalam talian (online) sahaja bermula 1 Disember 2020 sehingga 28 Februari 2021.

“Tiada hadiah disediakan untuk pembayaran di kaunter MBSP bagi promosi kali ini.

“Langkah ini adalah bertujuan untuk menggalakkan penggunaan teknologi maklumat yang disediakan kepada orang awam dalam membuat urus niaga pembayaran cukai taksiran secara dalam talian.

“Ia juga merupakan inisiatif untuk mengimplementasikan amalan normal baharu ketika negara dilanda pandamik COVID-19,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.

Senarai hadiah yang ditawarkan bagi promosi cukai taksiran MBSP 2021.

Turut serta, Ahli-ahli Majlis serta Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa pembayar juga perlu menjelaskan sepenuhnya cukai taksiran setahun bagi tahun 2021 berserta tunggakan sekiranya ada untuk melayakkan mereka dipilih dalam cabutan bertuah.

“Pemenang-pemenang bertuah akan dipilih secara rawak melalui sistem khas secara online dan akan ditentukan selepas Mesyuarat Majlis Penuh pada bulan Mac 2021,” ujarnya lagi.

Malumat lanjut mengenai terma dan syarat serta senarai hadiah yang ditawarkan sila layari laman sesawang https://www.mbsp.gov.my atau hubungi talian 04-549 7470 atau e-mel di [email protected].

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memaklumkan bahawa cukai taksiran bagi penggal pertama tahun 2021 akan dihantar secara digital iaitu Cyberbill melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel berdasarkan rekod dalam pangkalan data MBSP.

“Inisiatif ini selari dengan normal baharu dalam penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan kesan penularan COVID-19.

“Malah, ia juga selaras dengan hasrat untuk menjadikan Seberang Perai sebagai bandar raya pintar dan rendah karbon menjelang 2022.

“Justeru, pemilik harta berkadar yang belum mengemas kini maklumat, sila layari laman web MBSP di ruangan ‘pengumuman’ untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD