MBSP terima Sijil Pematuhan SAGA kali kedua, cekap urus kewangan

Admin
885b5423 f7a1 456e 9a2c 5d1d3ee1d241

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) buat kali kedua pada 19 Oktober lalu.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, pengiktirafan yang diterima daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) itu membuktikan komitmen berterusan MBSP terhadap pengurusan kewangan yang cekap, telus dan berintegriti.

Menurutnya, pensijilan itu diberikan kepada Sistem Pengurusan Perakaunan dan Kewangan Bersepadu (SPPKB), yang dibangunkan bagi menggantikan Sistem Perakaunan dan Belanjawan Bersepadu (SPBB), yang menerima pensijilan SAGA pertama pada 22 November 2017.

“Pematuhan SAGA membolehkan penyata kewangan disediakan dengan lebih cepat, tepat dan terkini, selain memperkukuh kawalan dalaman serta keselamatan maklumat kewangan.

“Pengiktirafan ini mencerminkan usaha berterusan MBSP dalam meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan penyampaian perkhidmatan, selaras dengan aspirasi menjadikan Seberang Perai sebuah bandar raya pintar,” ujarnya ketika berucap pada Mesyuarat Biasa Majlis di Menara Bandaraya MBSP di sini pada 27 Oktober 2026.

Dalam perkembangan lain, Baderul Amin menegaskan bahawa MBSP tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang berkaitan perancangan dan pembangunan, khususnya pemajuan tanpa kebenaran merancang.

Jelasnya, 7 Oktober lalu, sebuah syarikat dan pengarahnya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth kerana menjalankan kerja tanah dan pemajuan tanpa kebenaran merancang di Seberang Perai Selatan (SPS).

“Kesalahan di bawah Seksyen 26(1)(b) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) itu menyebabkan mahkamah menjatuhkan denda berjumlah RM50,000 terhadap kedua-dua Orang Kena Saman (OKS).

“Tindakan pendakwaan ini membuktikan ketegasan MBSP dalam memastikan setiap aktiviti pembangunan mematuhi undang-undang dan dilaksanakan secara terancang.

“Pemajuan tanpa kebenaran bukan sahaja menjejaskan perancangan guna tanah, malah berpotensi memberi kesan terhadap infrastruktur, alam sekitar, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” jelasnya lagi.

Justeru, beliau mengingatkan pemilik tanah, pemaju, syarikat dan individu supaya mendapatkan kelulusan sewajarnya sebelum memulakan sebarang aktiviti pemajuan.

MBSP akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan bagi memastikan pembangunan di Seberang Perai dilaksanakan secara terancang, selamat dan mampan.