MBSP tingkat tahap keselamatan Taman Rekreasi Sembilang dengan kos RM500,000

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membelanjakan RM500,000 pada tahun 2022 bagi melaksanakan beberapa projek dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di Taman Rekreasi Sembilang, Taman Sembilang di sini.

Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Baderul Amin Abdul Hamid berkata, jumlah tersebut adalah merangkumi pelaksanaan dua projek iaitu pembinaan laluan pejalan kaki, rel penghadang dan pencahayaan serta pemasangan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) di taman berkenaan.

Laluan pejalan kaki turut dibina bagi keselamatan pengunjung Taman Rekreasi Sembilang.

Beliau berkata, pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan memberi impak ketara dalam meningkatkan tahap keselamatan di kawasan titik hitam serta dapat mengurangkan risiko jenayah selain menggalakkan lagi aktiviti sihat seperti berjalan dan berjoging.

“Skop projek pertama adalah melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang 457 meter (m) dan pagar keselamatan sepanjang 888m.

“Selain itu, projek ini juga melibatkan dua
papan tanda pemberitahuan, tiga cermin keselamatan, pembinaan bonggol jalan serta laluan pejalan yang dilengkapi dengan fasiliti
untuk orang kurang upaya (OKU).

Lampu limpah yang dipasang oleh MBSP.

“Projek ini dimulakan pada 24 November 2022 dan siap dilaksanakan pada 5 Disember lalu dengan kos sebanyak RM254,000,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Bandar Selamat 2022 dekat Taman Rekreasi Sembilang, Taman Sembilang dekat sini pagi tadi.

Selain itu, Baderul Amin berkata, MBSP juga meingkatkan pencahayaan dengan melaksanakan projek pemasangan lampu LED di sepanjang laluan pejalan kaki dan kawasan perniagaan di Taman Sembilang.

“Skop projek ini pula adalah melibatkan empat tiang jenis lipat setinggi 12m serta 16 unit lampu limpah jenis LED berkapasiti 200Watt dan tujuh unit lampu jenis LED (solar) berkapasiti 100 Watt.

“Kita juga melaksanakan pemasangan lima tiang jenis konkrit Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kos keseluruhan berjumlah RM246,000 yang dimulakan
pada 15 September 2022 dan siap pada 7 Disember lalu,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Program Bandar Selamat diadakan adalah untuk memberikan kesedaran kepada komuniti setempat tentang kepentingan mewujudkan suasana tempat tinggal yang selamat dan peranan masyarakat dalam mewujudkan satu komuniti yang aman serta harmoni.

“Program ini dijalankan dan dilaksanakan oleh Majlis MBSP dan ia adalah selaras dengan Seberang Perai Corporate Priorities 2018 – 2022 di bawah keutamaan Strategik Persekitaran Selamat.

“Malah, program ini juga selari dengan Visi Penang2030 di bawah Inisiatif Strategik A: “Meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan” iaitu dalam A2: “Meningkatkan keselamatan dan kerbersihan awam secara berterusan”,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP