MBSP tumpu sisa organik dan plastik dalam pembangunan circular economy 2022

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memberikan tumpuan terhadap sisa organik, sisa hijau (sisa biologi) dan plastik dalam pembangunan circular economy pada tahun 2022.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata tumpuan terhadap pengurusan ketiga-tiga jenis sisa tersebut adalah berdasarkan keperluan semasa selain mampu menjana ekonomi baru kepada penduduk Seberang Perai.

“Jika dilihat kepada penghasilan sisa hijau iaitu sebanyak 45,000 metrik tan setahun, hanya 4,850 metrik tan atau 10.78 peratus sahaja yang dikitar semula yang mana ini menunjukkan ia masih mempunyai potensi yang besar.

Sr. Rozali Mohamud bersama-sama Ahli-Ahli Majlis MBSP bergambar kenang-kenangan bersama dengan para pemenang pertandingan Anugerah Circular Economy Community 2021.

“Bagi sisa daripada industri pula, daripada 1,035,300 metrik tan yang dihasilkan, sebanyak 682,836 metrin tan atau 65.95 peratus telah dikitar semula dalam setahun.

“Di samping itu, sisa domestik menunjukkan sejumlah 75,871 metrik tan atau 23.59 peratus daripada 321,641 metrik tan yang dihasilkan setiap tahun.

“Ini menunjukkan bahawa tumpuan yang diberikan oleh MBSP adalah langkah untuk menjana peluang ekonomi baru melalui pembangunan circular economy,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Circular Economy Community 2021 dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ketua-Ketua Whip Parti, David Marshel, Ahmad Rizal Abd Hamid dan Muhamad Suzuki Ahmad; pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid; Pengarah Urusan ESH Resources Management Sdn. Bhd., Lim Yu Chin serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Tambah Rozali, agenda pembangunan circular economy bukan sahaja untuk meningkatkan kadar kitar semula di Seberang Perai malah dapat menjadikan sumber yang terhad sebagai bahan mentah bagi pengilang-pengilang.

“Circular economy atau ekonomi kitaran bukan sekadar untuk memperbetulkan kesilapan dalam alam persekitaran tetapi terdapat bukti menunjukkan ia boleh membawa peluang besar dan kesan positif merentas industri, sektor dan kehidupan harian.

“Justeru, saya menyeru kepada pihak industri terutamanya yang mempunyai kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri untuk tampil menjalinkan kerjasama dengan pihak MBSP.

Sr. Rozali Mohamud beramah-mesra dengan salah seorang pemenang.

“Ini termasuk membuat kajian mengenai bagaimana penghasilan produk oleh kilang-kilang  boleh digunakan semula sebagai bahan mentah untuk proses seterusnya sama ada dalam industri yang sama atau berlainan.

“Dengan ini, pada tahun 2022 MBSP akan mengadakan kerjasama dengan pihak industri untuk membuat kajian bagi mewujudkan dasar Extended Producer Responsibility (EPR) melalui bantuan ahli-ahli Majlis serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Seberang Perai.

“(Dan) kita akan mewujudkan dasar yang mesra alam dan tidak menjejaskan industri supaya apa yang dihasilkan itu akan dibeli semula dalam bentuk yang pelbagai,” jelasnya.

Oleh itu, Rozali berkata penganjuran pertandingan Anugerah Circular Economy Community  sebagai program ‘outreach’ komuniti, rakyat dan industri untuk mencapai lima agenda utama yang ditetapkan oleh MBSP.

“Pertama adalah untuk mengoptimumkan penggunaan sumber yang terhad selain mengurangkan pelepasan karbon, melindungi kesihatan manusia dan biodiversiti, merangsang ekonomi dan paling penting dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Difahamkan, pertandingan Anugerah Circular Economy Community adalah terbuka kepada semua komuniti di Seberang Perai yang mempunyai tidak kurang 50 buah rumah manakala bagi pengusaha insudtri pula mestilah mempunyai lebih 300 pekerja.

Sebanyak 24 penyertaan diterima iaitu melibatkan 17 pertubuhan berasaskan komuniti dan tujuh daripada pihak industri.

Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM500 berserta hadiah bagi pemenang Anugerah Diamond, Anugerah Platinum (RM400 berserta hadiah), Anugerah Gold (RM300 berserta hadiah), Anugerah Silver (RM200 berserta hadiah) dan Anugerah Bronze (RM100 berserta hadiah).

Tiga pemenang terpilih bagi Anugerah Diamond ialah Golden Highway Autocity Sdn. Bhd., Pusat Sumber Alam Sekitar Taman began Lalang dan Koperasi Lestari Alam Sekitar Seberag Perai Berhad, Permatang Nibong.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD