MBSP wujudkan ‘call centre’ demi tingkat mutu penyampaian perkhidmatan

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji inisiatif Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mewujudkan ‘call centre’ bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

Beliau berkata, dengan adanya ‘call centre’ berkaitan, ia akan menjadikan MBSP lebih efisien dalam menerima aduan serta menyampaikan perkhidmatan bagi menyelesaikan segala permasalahan penduduk, dan ini pastinya membabitkan perbelanjaan yang lebih banyak.

“Oleh itu, kita berharap agar pembayar cukai faham bahawa MBSP juga memerlukan peruntukan wang sumbangan daripada pembayar cukai sama ada melalui bayaran cukai pintu atau lain-lain (bayaran) bagi memastikan perkhidmatan disampaikan dengan baik.

Ketua Menteri bersama-sama Jagdeep Singh Deo dan Sr. Rozali Mohamud mencuba perkhidmatan MBSP Call Centre semasa mahlis pelancaran perkhidmatan itu pagi tadi.

“Setiap sen yang dipungut daripada pembayar cukai haruslah digunakan untuk perkara yang boleh membawa faedah kepada penduduk di Seberang Perai.

“Inilah jaminan kita kepada pembayar cukai. Kita tidak akan gunakan wang pembayar cukai secara sewenang-wenangnya, sebaliknya menterjemahkan ia kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih baik,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Call Centre MBSP dekat Lobi Menara Bandaraya di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; barisan Ahli Majlis bagi MBSP serta pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Perai.

Barisan tetamu jemputan khas menunjukkan tanda bagus terhadap perkhidmatan terbaharu yang diperkenalkan MBSP.

Dalam pada itu, Jagdeep sebelum itu memaklumkan bahawa sehingga 30 Januari lalu, sebanyak 2,118 aduan telah diterima melalui Call Centre MBSP yang mula beroperasi pada 23 Disember 2019.

“Di sini, saya mahu MBSP memastikan bahawa tidak ada aduan tercicir atau tidak dijawab,” tegasnya.

Difahamkan, Call Centre MBSP beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Bagi penduduk yang berhasrat untuk mengemukakan sebarang aduan boleh hubungi Call Centre MBSP di talian: 04-269 6969.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS