Md Yusup Che Teh Tokoh Maal Hijrah 1443H Pulau Pinang

Admin
MD. Yusup Che Teh memegang cek replika bernilai RM10,000 selepas dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1443H Pulau Pinang, yang dilangsungkan secara maya lewat petang tadi.

GEORGE TOWN – Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dato’ Seri Dr. Md. Yusup Che Teh dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1443H Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Penganugerahan itu menyaksikan beliau menerima hadiah sebuah trofi, sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM10,000 dalam acara Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2021.

ABDUL Halim Abdul Hamid turut membawa pulang RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Sementara, Hakim Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri, Abdul Halim Abdul Hamid yang juga bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irsyad, dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Ulama.

Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Ahmad Fuzi Abdul Razak dan dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Noor dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor telah menyempurnakan acara tersebut yang dianjurkan secara maya sebentar tadi.

TUN Dr. Ahmad Fuzi Abdul Razak
IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman semasa menyampaikan ucapan secara maya tadi.

Dalam acara telesidang itu, Ahmad Zakiyuddin memberitahu bahawa “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” yang dipilih sebagai tema sambutan Maal Hijrah pada kali ini adalah bertepatan dengan pelan pembangunan 10 tahun umat Islam negeri Pulau Pinang yang dinamakan “Khaira Ummah 2030”.

Di samping itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti turut menzahirkan rasa sedih terhadap beberapa kes kematian akibat COVID-19 yang kian meningkat, serta kes bunuh diri yang disebabkan tekanan dan kesempitan hidup.

“Perkara ini amatlah membimbangkan dan setiap pihak perlu memainkan peranan dalam membantu masyarakat sekeliling.

“Oleh itu, cabaran yang dihadapi dalam usaha membina ‘Khaira Ummah’ atau Ummah Berkualiti bukanlah suatu perkara yang mudah terutama dalam konteks dunia hari ini,” jelasnya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Menjelang masuk waktu solat fardu Maghrib tadi, Tun Ahmad Fuzi dan isteri berkenan menyertai majlis bacaan Yasin, Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun.

Dr. Wan Salim sendiri memimpin majlis bacaan Yasin dan doa berkaitan yang dilangsungkan menerusi Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan YouTube Channel JHEAIPP.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB