Meditasi Energy Bagua Wellness dibenarkan, tapi mesti dikawal demi menjaga kepentingan awam – Jagdeep

BAYAN LEPAS – Aktiviti meditasi kendalian Energy Bagua Wellness di taman rekreasi awam dekat Taman Jajar Sungai Ara yang diharamkan sebelum ini, dibenarkan semula dengan syarat dikawal serta tidak sampai menjejaskan kepentingan penduduk setempat menggunakan kemudahan awam di tanah lapang tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo bersama-sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata demikian dalam sidang media di sini pada 19 Januari 2019.

“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) tidak mengharamkan mana-mana aktiviti yang mempromosi gaya hidup sihat, tapi kita cuba mengawal penganjuran aktiviti kumpulan-kumpulan tertentu supaya taman rekreasi ini turut boleh digunakan oleh penduduk tempatan juga.

“Kerajaan Negeri senantiasa menggalakkan apa jua aktiviti yang mempromosi gaya hidup sihat… pada masa sama, aktiviti mana-mana pihak tidak boleh sampai kerosakan keadaan taman rekreasi awam ini.

“Kita berbincang dengan semua pihak berkepentingan untuk mendapatkan ‘situasi menang-menang’, agar semua pihak boleh menggunakan taman rekreasi awam ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Terdahulu, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengharamkan Energy Bagua Wellness melaksanakan aktiviti meditasi di beberapa taman rekreasi awam dekat bahagian pulau, antara lain atas sebab menggunakan menggunakan begitu banyak ruang tanah lapang sehingga menjejaskan kepentingan penduduk tempatan.

Antaranya, di Taman Raffel dekat Gelugor; Taman Kejiranan Beriksa (Ayer Itam); Brother James Park (Pulau Tikus); Taman Jajar Sungai Ara (Bayan Lepas) dan Taman Permai (Tanjong Bungah) yang dipercayai diadakan secara terbuka di tanah-tanah lapang berkaitan.

Bahagian Seberang Perai adalah membabitkan Taman Jernih (Bukit Mertajam); Taman Chai Leng (Perai) dan Taman Riang (Butterworth) yang masih belum diharamkan, ketika itu.

Difahamkan, MBPP telahpun mengadakan perbincangan lanjut dengan Energy Bagua Wellness pada 10 Januari lalu ekoran maklum balas umum diterima.

Kemudian, MBPP berjaya mendapatkan kata sepakat secara ‘situasi menang-menang’ membabitkan semua pihak, pada 15 Januari lepas.

“Semua taman awam dan kawasan rekreasi MBPP adalah untuk kegunaan bersama dan diharapkan kemudahan-kemudahan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak,” jelas Jagdeep.

Sementara itu, “Anna” iaitu jurucakap Energy Bagua Wellness memberitahu bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai semua kehendak berwajib MBPP demi memelihara keharmonian dan kepentingan semua pihak.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB