Mekanisme garis panduan pembangunan baru ditambah baik, wujud situasi ‘menang-menang’ untuk semua pihak – Kon Yeow

Admin

PAYA TERUBONG – Di bawah mekanisme garis panduan pembangunan baru, pihak pemaju yang membina projek melebihi 1,280 unit dikehendaki menyerahkan sebidang tanah kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan pembangunan sekolah, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, penambahbaikan mekanisme baharu tersebut diputuskan bulan lalu untuk memenuhi keadaan yang berbeza kini.

“(Serah tanah) ia bukanlah perkara baru, cuma menambah baik kepada dasar pembangunan sedia ada supaya proses ini menjadi lebih telus, cekap dan mencapai matlamatnya.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri memerlukan satu mekanisme baru supaya dapat mengawal perkara ini agar satu keputusan ‘menang-menang’ dapat dicapai iaitu kementerian mempunyai tanah untuk membina sekolah, komuniti mendapat sekolah baru, pihak pemaju boleh memberi sumbangan dan tunaikan syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak Majlis Tempatan (pihak berkuasa tempatan, PBT).

“Jadi, peranan Kerajaan Negeri di sini adalah sebagai pemudah cara untuk menjadikan perkara (pembinaan sekolah) ini realiti,” jelasnya sambil memaklumkan bahawa pada masa kini telah ada beberapa bidang tanah diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan berkaitan.

Kon Yeow berkata demikian pada sidang media sejurus merasmikan Majlis Penyerahan Sekolah Sinar Suria di Lilitan Sungai Ara dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; ADUN-ADUN; Datuk Teh Cheng Lim (Presiden Persatuan Kanak-kanak Terencat Akal Pulau Pinang) dan Tan Sri Alex Ooi Kee Liang (Pengerusi Eksekutif Ideal Property Group).

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menjelaskan bahawa terdapat beberapa alternatif lain yang boleh dilakukan pihak pemaju berhubung mekanisme baharu tersebut.

“Kalau pemaju boleh serahkan (tanah) dalam tapak pembangunan baru sedia ada itu lebih baik, tapi jikalau tidak dapat serah tanah di kawasan sedia ada… mereka mempunyai pilihan untuk menyerahkan satu tapak lain yang berhampiran ataupun alternatif terakhir adalah dengan memberikan sumbangan kewangan setaraf dengan nilai tanah tersebut.

“Pembangunan adalah satu perkara yang dinamik, maka pemaju telah mohon (kepada Kerajaan Negeri) daripada memberikan sumbangan kewangan, mereka mahu membina bangunan (sekolah) dengan nilai sama… Kerajaan Negeri setuju,” ulasnya.

Justeru, bagi memastikan mekanisme pelaksanaan tersebut dipantau dengan baik, Kon Yeow memberitahu bahawa serahan/bangunan/permohonan semestinya mendapat kelulusan pihak Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

“Misalnya baru-baru ini Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembangunan sebuah sekolah baru yang diberi nama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tun Lim Chong Eu. Pihak Kerajaan Negeri telah diminta untuk mencari tanah supaya pihak Kementerian Pendidikan boleh membinanya sebagai sebuah sekolah bantuan penuh.

“Jadi sebagai Kerajaan Negeri kita perlu mencari tanah, dan kebiasaannya kalau pemaju ada tanah yang disyarat untuk diserahkan, maka dua matlamat ini dapat dicapai… ada tanah serta ada matlamat untuk membina sekolah,” jelasnya lanjut.

Difahamkan, pembinaan Sekolah Sinar Suria dibangunkan di atas tanah milikan Kerajaan Negeri seluas 1.37 ekar yang bernilai hampir RM20 juta (terkini) dan kini disumbangkan kepada Persatuan Kanak-kanak Terencal Akal Pulau Pinang.

Manakala, pembinaan bangunan sekolah berkenaan yang mencecah nilai RM10 juta telah disumbangkan oleh Ideal Property Group melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkaitan.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN