BATU MAUNG – Barisan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diingatkan supaya memainkan peranan sebagai barisan hadapan Kerajaan Negeri dengan memastikan setiap aduan dan isu rakyat disampaikan serta ditangani dengan segera.
Menurut Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik, MPKK juga merupakan mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri kerana berada paling hampir dengan masyarakat serta memahami keadaan sebenar di peringkat akar umbi.
“Jangan anggap diri kita insan yang kecil, saya sendiri memulakan perjalanan dalam kerajaan sebagai Setiausaha MPKK sebelum menjadi Ahli Majlis, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) sehingga menjadi Exco Kerajaan Negeri.
“MPKK adalah barisan paling hadapan kerajaan. Anda semua yang berdepan dengan rakyat setiap hari, menerima aduan dan memahami masalah setempat.
“Sebab itu setiap maklumat perlu disampaikan kepada Ahli Majlis, ADUN, Ahli Parlimen, Exco mahupun Ketua Menteri supaya tindakan dapat diambil dengan segera,” ujarnya ketika berucap pada Seminar Pemantapan MPKK Daerah Barat Daya (DBD) dekat Dewan Serbaguna Batu Maung di sini pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah bagi DBD, Dato’ Rosli Halim dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ooi Mei Mei.
Mengulas lanjut, Choon Aik berkata setiap aduan termasuk isu yang kelihatan kecil seperti jalan berlubang, longkang tersumbat, sampah tidak dikutip atau kekurangan kemudahan awam tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri.
“Jangan biarkan sesuatu masalah berlarutan, dalam aduan rakyat, tiada perkara yang remeh.
“Kerja kita ialah menyelesaikan masalah kehidupan harian rakyat, aduan yang tidak ditangani boleh menjadi isu yang lebih besar dan akhirnya menjejaskan imej Kerajaan Negeri,” ulasnya merangkap ADUN Bukit Tambun.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Ahli Jawatankuasa MPKK supaya sentiasa bekerjasama rapat dengan ADUN atau penyelaras kawasan masing-masing bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar.
“Walaupun jawatan MPKK merupakan lantikan politik dan elaun yang diterima adalah terhad, amanah yang dipikul tetap besar dalam membantu Kerajaan Negeri menyampaikan dasar serta menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Jawatan MPKK bukan pekerjaan sepenuh masa, sebaliknya satu amanah untuk membantu Kerajaan Negeri.
“Sebab itu saya sentiasa mengingatkan supaya mesyuarat atau program mengambil kira komitmen pekerjaan anggota MPKK, kecuali jika berlaku kecemasan yang memerlukan tindakan segera,” katanya lagi.
Menutup sesi tersebut, Choon Aik turut membuka sesi dialog bagi MPKK mengutarakan permasalahan yang dihadapi untuk diambil tindakan sewajarnya.