MACHANG BUBUK – Pasukan Pengakap Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin berjaya menyapu bersih juara Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Peringkat Negeri Pulau Pinang kategori putera dan puteri yang berlangsung hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Fadzil Sadikin berkata, pertandingan tersebut menyaksikan penyertaan 20 pasukan dari seluruh negeri melibatkan 440 orang peserta.
“Syabas dan tahniah kepada semua murid yang bertanding kerana berjaya mewakili daerah masing-masing.
“Penyertaan pada peringkat ini membuktikan anda semua memiliki standard dan kualiti yang membanggakan untuk bertanding di peringkat negeri.
“Kepada pasukan yang berjaya menjadi wakil Pulau Pinang ke pertandingan kawad kaki Pasukan Badan Beruniform Peringkat Kebangsaan, teruskan mempertingkatkan latihan, memperkukuh disiplin serta membawa nama baik Pulau Pinang di pentas kebangsaan, malah ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutup Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Peringkat Negeri Pulau Pinang (Sekolah Rendah) dekat Pusat Kokurikulum Negeri Pulau Pinang, dekat Bukit Mertajam petang tadi.
Tambahnya, aktiviti kawad kaki bukan sekadar memenuhi tuntutan kokurikulum, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, karakter dan disiplin murid.
“Program seperti ini bukan diadakan sekadar untuk pertandingan semata-mata tetapi menjadi medium penting dalam membina jati diri, memupuk semangat berpasukan serta melahirkan murid yang berdisiplin,” katanya lagi.

Bagi kategori lelaki, Sekolah Kebangsaan Mengkuang (Pengakap) muncul tempat kedua diikuti SK Batu Kawan (Tunas Pasukan Pertahanan Awam, TUSPA) di tempat ketiga.
Sementara itu, bagi kategori puteri, SK Convent Butterworth (1) muncul sebagai naib johan manakala tempat ketiga milik SJKC Keow Kuang.

Pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS puteri) SJKC Min Sin juga muncul juara bagi katagori TKRS.
Lebih manis Ketua Platun Terbaik juga berjaya dirain oleh TKSR SJKC Min Sin menerusi Harry Loh Shee Ming.

Guru Pembimbing SJKC Min Sin, Ang Aik Fung dalam pada itu merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para guru dan ibu bapa atas komitmen yang ditunjukkan.
“Justeru, kami akan berlatih bersungguh-sungguh semaksimum mungkin untuk peringkat kebangsaan, harap sekolah kami boleh mengharumkan nama baik Pulau Pinang.
“Ibu bapa selalu beri kerjasama sepenuhnya untuk latihan, tidak dilupa Guru Besar, Penolong Kanan bagi kerjasama dan hari ini kami mendapat hasil yang baik tiga johan, terima kasih sekali lagi,” katanya ketika dihubungi.
Gambar: ALISSALA THIAN