Menara Penyelamat Pantai tumbang membimbangkan

GEORGE TOWN – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang menzahirkan kebimbangan di sebalik insiden Menara Penyelamat Pantai dekat Batu Feringghi tumbang kira-kira 4:30 pagi tadi akibat dibadai ombak kuat.

 

 

Sambil mengaitkan insiden itu dengan kemungkinan perubahan iklim yang kian ketara kini, beliau memberitahu bahawa sebelum ini beberapa buah hotel sekitar Batu Feringghi turut menerima ancaman ombak besar.

 

 

“Kali ini terima ancaman ombak, tebing hotel sebelum ini pun ada yang telah runtuh, jadi menara  yang tumbang ini adalah petanda nyata tentang perubahan iklim dan pemanasan global yang sedang dihadapi dunia.

 

 

“Ini merupakan satu hakikat yang perlu diterima, memandangkan kita sebuah bandar raya pulau dan sudah pastinya menerima kesan-kesan seperti ini.

 

“Masa kita jangka hujan, tidak hujan, masa jangka tidak hujan, terjadinya hujan, MBPP perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan, kejadian (menara tumbang) ini juga sebelum ini tidak pernah berlaku,” ujar beliau dalam satu sidang media sejurus tamat Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 1 Tahun 2022 yang diadakan secara maya pagi ini.

 

 

Tambahnya, MBPP sejak awal lagi sememangnya memberi fokus kepada perkara berkaitan perubahan cuaca dan pemanasan global dalam mengurangkan impaknya kepada Pulau Pinang.

 

 

“Agenda-agenda pengurangan jana karbon, penanaman pokok, indeks bangunan hijau dan perkara-perkara berkaitan masih menjadi fokus utama MBPP pada tahun 2022 ini.

 

 

“Perkara-perkara tersebut merupakan salah satu cara dalam mengurangkan impak terhadap perubahan yang dihadapi dan saya harap Pulau Pinang boleh jadi contoh dalam perkara ini,” katanya lagi

 

 

Berbekalkan pelbagai inisiatif hijau yang dilaksanakan di bahagian Pulau selama ini, beliau berharap tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dialami oleh mana-mana pihak.

 

 

Difahamkan, menara peninjau tersebut adalah milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MBPP