Mendepani cabaran pembelajaran secara dalam talian, pendidik perlu bersifat kreatif

Admin

PELAKSANAAN Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah mengalami revolusi daripada kaedah penyampaian dalam bilik darjah atau dewan kuliah kepada pembelajaran dalam talian, sejujurnya ia merupakan satu cabaran yang amat besar bukan sahaja kepada warga pendidik, malahan kepada pelajar dan ibu bapa.

Tidak dapat dinafikan pelbagai cabaran timbul dalam menjayakan usaha mewujudkan pembelajaran secara berterusan pada masa kini dek penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Bagi warga pendidik mereka perlu bersifat kreatif dan bersedia mempelajari ilmu baharu bagi mendepani cabaran masa kini dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian seperti menggunakan platform aplikasi media sosial dan telesidang iaitu aplikasi Zoom, Youtube, Google Classroom, Kahoot, Quiziz dan sebagainya.

Malah, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa stesen televisyen dengan mewujudkan Rancangan TV Pendidikan, sekaligus menjadikan capaian pendidikan lebih meluas.

Bagi seorang guru Pendidikan Khas yang hanya mahu dikenali sebagai Cikgu Zaza, penerimaan pelajar terhadap pembelajaran dan pengajaran secara PdPR adalah berbeza mengikut tahap kefungsian masing-masing.

Jelasnya, pelajar kefungsian tinggi dan sederhana dilihat tiada masalah untuk menerima dan mengikuti pembelajaran secara dalam talian, tetapi berbeza bagi pelajar kefungsian aras rendah seperti pelajar pendidikan khas.

“Pelajar kefungsian aras rendah lebih memerlukan pembelajaran secara hands on, di sini bukan sahaja guru perlu pandai mempelbagaikan penyampaian agar menarik minat mereka, tetapi peranan ibu bapa di rumah juga memainkan peranan penting untuk golongan pelajar khas ini.

“Tidak seperti pelajar kefungsian tinggi dan sederhana, tetapi pelajar kefungsian aras rendah ini tidak boleh hanya memberikan nota dan latihan semata-mata, tetapi saya perlu selitkan dengan permainan interaktif agar mereka lebih seronok untuk belajar,” ujarnya sambil menyatakan kerisauan beliau ekoran pelajar-pelajar khas lazimnya jika tidak terdedah kepada persekitaran luar dalam tempoh yang lama akan menyebabkan mereka sukar untuk bergaul semula dengan persekitaran.

Kekurangan peranti gajet atau komputer, capaian internet serta komitmen pelajar untuk menghadiri kelas dalam talian tepat pada waktunya juga merupakan cabaran utama.

“Masalah yang sering timbul adalah pelajar tidak hadir atau mengikuti PdPR selalunya disebabkan berkongsi peranti dengan ibu bapa atau kekangan ibu bapa yang bekerja.

“Kadang-kadang kelas secara dalam talian terganggu disebabkan capaian internet yang kurang memuaskan sama ada di pihak guru atau pelajar tambah lagi ketika waktu puncak pembelajaran,” ujarnya sambil melahirkan harapan agar pandemik COVID-19 beransur pulih dan membolehkan para guru dan pelajar menjalani sesi pembelajaran seperti sediakala.

Sementara itu, bagi seorang lagi guru yang enggan dikenali memberitahu bahawa golongan pelajar kebanyakannya tidak lagi canggung dengan corak pembelajaran normal baharu ini bagi kelangsungan mereka untuk menuntut ilmu meskipun pelbagai cabaran dihadapi.

“Pelbagai ragam mereka (pelajar), masih ada yang mengaplikasikan adab ketika di bilik darjah ketika pembelajaran dalam talian seperti minta izin ke tandas, memang terasa lucu tetapi itulah sebenarnya adab yang diterapkan.

“Namun, ada juga murid dan ibu bapa yang kurang cakna akan PdPR yang dibuat oleh para guru, walau apapun guru perlulah sentiasa bersikap tenang dan sentiasa punyai sikap untuk meningkatkan kemahiran kendiri bagi memahirkan diri dalam penggunaan pelbagai platform pembelajaran.

“Jika dahulu rekod dan edit video hanya untuk mereka yang mahir, tetapi kini guru juga perlu menghasilkan video pengajaran yang menarik selain menyediakan model pembelajaran mengikut sukatan yang disediakan… kepuasan berlaku jika ada ibu bapa yang menghargai penat lelah guru dalam menyampaikan ilmu,” ujarnya yang berkelulusan Master Pendidikan (Kurikulum dan Pengajaran) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak tertakluk kepada pelajar di peringkat sekolah, penangguhan sesi kuliah secara fizikal di semua universiti awam dan swasta dalam negara juga mempengaruhi pembelajaran penuntut.

Bagi Pensyarah di UOW Malaysia KDU Penang University College, ANDREW WILFRED yang telah berkecimpung dalam bidang pendidikan hampir 12 tahun lalu berkata bahawa, secara peribadinya beliau rindukan sesi pembelajaran secara fizikal dengan para pelajarnya.

“Pembelajaran secara dalam talian bukanlah mudah, sebagai pengajar kita boleh pelbagaikan medium pembelajaran, kaedah penilaian… tetapi tidak akan mencapai objektif 100 peratus tanpa emosi dan hubungan ikatan fizikal dengan pelajar.

“Apa yang diperhatikan dalam kalangan penuntut universiti, pembelajaran yang dilakukan secara dalam talian menyebabkan mereka kurang motivasi dan disiplin diri, malah keterbatasan capaian internet dan bahan pembelajaran lain seperti buku, artikel dan journal yang lazimnya diperolehi melalui perpustakaan (universiti) adalah faktor penyumbang juga.

“Tetapi sebagai seorang pendidik, walau apa jua cabaran kita seharusnya tukarkan cabaran menjadi sebuah peluang, ia adalah bagaimana kita memilih pendekatan serta metadologi yang sesuai dan yang lebih penting adalah yakin dengan apa yang kita lakukan,” kongsi beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING