Mendiang Karpal Singh, Zainal Rahim terima darjah tertinggi D.U.P.N

GEORGE TOWN – Mantan Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang juga seorang peguam dan tokoh politik disegani, mendiang Karpal Singh a/l Ram Singh dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Zainal Rahim Seman mendahului senarai 829 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-82 Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas.

Mengikut senarai penerima yang telah diwartakan pada 3 Disember 2020, mendiang Karpal Singh dan Zainal Rahim merupakan penerima darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Selain itu, lima penerima dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N) yang membawa gelaran Datuk Seri, iaitu Panglima Tentera Udara (TUDM), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad; Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd. Zain; Panglima Tentera Laut (TLDM), Laksama Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany; Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Konsul Kehormat Republik Poland, Datuk Seri M. Suppiah.

Seramai 16 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Timbalan Pengarah Kastam, Datuk Johari Alifiah; Pengasas yang juga  Ketua Pegawai Eksekutif Only World Group Holdings Berhad, Tan Sri Datuk Sri Datuk Koh Cheng Keong; Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim (mantan Ketua Polis Kuala Lumpur); Pengerusi Bukan Eksekutif (Bebas) RGB International Berhad, Datuk Mahinder Singh Dulku; ahli antropologi yang juga pejuang gender disegani, Profesor Emerita Datuk Dr. Wazir Jahan Begum Abdul Karim dan Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Sdn. Bhd., Datuk S. Sundarajoo.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar; Ketua Polis Pulau Pinang, CP Datuk Sahabudin Abd. Manan dan tokoh kemasyarakatan disegani, Datuk Haja Najmudeen KPM Abd. Kader antara penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib; Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, DCP Datuk Abdul Aziz Abdul Majid; Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, YA George Varughese; Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Azhar Arshad; Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; ADUN Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; mantan ADUN Berapit, Ong Kok Fooi dan Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Zulkifli Long merupakan antara 84 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, seramai 74 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (38); Pingat Kelakuan Terpuji (126); Pingat Jasa Kebaktian (218); Pingat Jasa Masyarakat (233) dan Pingat Bakti Setia (26).

LAW Choo Kiang.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang memaklumkan bahawa Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang yang dijadualkan berlangsung pada 21 November 2020, ditangguhkan ke 16 Januari 2021 berikutan penularan wabak COVID-19.

“Segala acara dan istiadat berkaitan sempena Hari Ulang Tahun Tuan Yang Terutama (TYT), Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ke-82 ditangguhkan sehingga 16 Januari 2021.

“Walau bagaimanapun, tarikh tersebut masih tertakluk pada perubahan situasi semasa penularan wabak COVID-19 di Pulau Pinang,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media yang berlangsung di Komtar pagi ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah dan Ketua Penolong Setiauasaha Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol, Mohd. Roshidi Azmi.

Menurut Choo Kiang, selain istiadat penganugerahan berkaitan, Majlis Jamuan Teh Peringkat Negeri turut akan diadakan dengan kehadiran Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Datuk Seri Utama Majimor Sharif serta pembesar-pembesar negeri.

“Manakala Majlis Makan Malam pula akan diadakan pada 17 Januari 2021 di Pusat Konvensyen SPICE.

“(Dan) kedua-dua majlis ini akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

“Hal ini termasuk jumlah pengiring yang dibenarkan untuk mengiringi penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri iaitu seorang, setakat dipersetujui kini,” katanya.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI